Treler melintang lebuh raya, dua cedera nahas babit 3 kenderaan

BATU PAHAT - Dua wanita cedera dalam nahas membabitkan dua kereta dan sebuah treler di Kilometer 96, Lebuhraya Utara Selatan arah utara dekat Yong Peng di sini, petang Jumaat.
Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II, Mohd Shahril bin Razali berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Hitam serta BBP Yong Peng digerakkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 5.03 petang.
“Seramai sembilan anggota bersama dua jentera bergegas ke lokasi sejauh 34 kilometer dan tiba pada jam 5.36 petang.

“Sebaik tiba, pasukan mendapati kemalangan melibatkan tiga kenderaan iaitu, treler, Toyota Vios dan Perodua Myvi dengan dua mangsa mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Menurut beliau, dua wanita menaiki Perodua Myvi mengalami kecederaan dan telah dibawa ke hospital oleh orang awam sebelum pasukan bomba tiba di lokasi manakala pemandu treler dan pemandu Toyota Vios dilaporkan selamat.
"Pasukan bomba melakukan pemeriksaan bagi memastikan keadaan selamat sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 6.15 petang," katanya lagi.
Sebelum itu tular di media sosial beberapa video memaparkan sebuah treler melintang di tengah lebuh raya menyebabkan kesesakan lalu lintas.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!