Malaysia perkukuh kerjasama statistik ASEAN selaku pengerusi ACSS15

SHAH ALAM - Malaysia sedia memperkukuh kerjasama serantau, memacu kecemerlangan statistik serta memastikan penyediaan data berkualiti yang tepat bagi menyokong pembangunan mampan sebagai Pengerusi Sistem Statistik Komuniti ASEAN Ke-15 (ACSS15) pada 2025.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, keupayaan statistik kukuh serta kerjasama serantau penting bagi memastikan ASEAN kekal berdaya saing dan responsif terhadap cabaran semasa.

“Melalui kerangka kerja ASEAN-Help-ASEAN’, kami akan meningkatkan keupayaan statistik serantau, merapatkan jurang kapasiti serta memperkukuh tadbir urus data bagi menyokong aspirasi ekonomi, sosial dan politik,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Terdahulu, Mesyuarat Jawatankuasa Kecil Perancangan dan Penyelarasan ACSS Ke-29 (SCPC29) yang dianjurkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) telah diadakan dari 19 hingga 20 Februari 2025 di Kuala Lumpur.
Mesyuarat yang menghimpunkan wakil daripada Negara Anggota ASEAN (AMS) dan Sekretariat ASEAN itu membincangkan keutamaan statistik utama serta usaha kolaboratif dalam memperkukuh pembuatan keputusan berasaskan data di seluruh rantau.
Ia dihadiri 40 peserta dari AMS serta wakil Malaysia daripada Ahli SCPC dan Kumpulan Kerja ACSS secara fizikal bersama satu negara AMS yang menyertai secara dalam talian.
Mohd Uzir berkongsi, SCPC29 berfungsi sebagai platform strategik untuk menilai kemajuan serta merangka pelan tindakan bagi komuniti statistik ASEAN.
"Perbincangan dalam mesyuarat ini memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh mekanisme pemantauan bagi Laporan Kemajuan Petunjuk SDG ASEAN 2025 serta mengukuhkan pelaksanaan Akademi Statistik Maya ASEAN dalam meningkatkan kapasiti statistik di seluruh AMS.
"Mesyuarat ini juga membahaskan pembangunan kerangka kerja tadbir urus data yang sistematik dan berpandukan standard menerusi nota konsep mengenai tadbir urus data bagi AMS,” jelasnya.
Selain itu, Mohd Uzir berkata, ahli mesyuarat turut meneliti hala tuju strategik bagi pembangunan statistik ASEAN melalui Pelan Tindakan ACSS 2026-2030, dengan memberi penekanan kepada transformasi digital, inovasi, dan integrasi serantau.
"Malaysia berperanan memacu inisiatif bagi meningkatkan kesedaran statistik dan memperkukuh tadbir urus data dalam kalangan AMS.
"Bersempena dengan Hari Statistik Sedunia 2025, Malaysia bersama AMS dan ASEANstats merancang untuk menganjurkan program kesedaran mengenai kepentingan statistik serta program penyebaran dan komunikasi data menggunakan infografik sebagai medium bagi meningkatkan penglibatan masyarakat secara lebih efektif,” ujar beliau.
Tambahnya, SCPC29 turut mengesahkan komitmen AMS dalam menyelaraskan inisiatif statistik seiring dengan Visi ASEAN Pasca-2025.
“Malaysia akan terus memperkasa kebolehcapaian data, literasi statistik di seluruh rantau, selain menganjurkan acara statistik utama ASEAN termasuk ACSS15 dan Forum Statistik ASEAN.
"Kita perlu bersama-sama memanfaatkan kuasa data dalam menggubal dasar, memacu inovasi, serta membentuk ASEAN yang berdaya tahan, inklusif, dan mampan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!