Mohon permit sebelum masuk hutan

Jabatan Perhutanan Perak menetapkan keperluan permohonan permit bagi orang awam masuk ke Hutan Simpan Piah di Kuala Mu, Sungai Siput. (Gambar kecil: Mohamed Zin)
Jabatan Perhutanan Perak menetapkan keperluan permohonan permit bagi orang awam masuk ke Hutan Simpan Piah di Kuala Mu, Sungai Siput. (Gambar kecil: Mohamed Zin)
A
A
A
IPOH - Kunjungan orang awam ke kawasan Hutan Simpan Piah di Kuala Mu, Sungai Siput bagi tujuan riadah atau eko-pelancongan perlu disertakan dengan permit.

Pengarah Perhutanan Perak, Datuk Mohamed Zin Yusop berkata, langkah itu untuk memastikan orang awam yang masuk ke kawasan hutan simpanan kekal (HSK) dipantau dan dikawal terutama daripada aspek keselamatan.

Bagaimanapun menurutnya, permohonan permit itu adalah dikecualikan kepada penduduk setempat dan penduduk Orang Asli Pos Kuala Mu.

"Ini bukan menyusahkan penduduk atau orang awam, tetapi lebih tertumpu kepada isu keselamatan yang mana ia menjadi tanggungjawab pihak jabatan.

"Keperluan untuk orang awam memperolehi permit memasuki HSK ini juga tertakluk dibawah Seksyen 47 Akta Perhutanan Negara 1984," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, permohonan permit boleh dikemukakan di semua Pejabat Daerah Hutan negeri Perak dan pihaknya akan melaksanakan semakan berterusan memastikan keperluan orang awam mendapatkan permit masuk.

Katanya, pada ketika ini, semakan menerusi sekatan jalan raya telah dilakukan di kawasan itu oleh Pejabat Hutan Daerah Kuala Kangsar selaras dengan keputusan perbincangan wakil jabatan bersama Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) Sungai Siput dan Jabatan Kerja Raya (JKR), 15 November lepas.

"Sekatan ini bagi memastikan tiada kesalahan hutan dilakukan oleh pelesen pembalakan di situ dan memantau pergerakan alatan pengangkutan seperti lori balak, lori membawa kelapa sawit dan getah di sepanjang laluan Pos Kuala Mu hingga Bawong.

"Ianya juga untuk memberi pencerahan kepada orang awam yang masuk kawasan Hutan Simpan Piah tanpa permit agar membuat permohonan terlebih dahulu," katanya.
Artikel Berkaitan:


Jalan raya yang dibina di kawasan itu merupakan jalan hutan sedia ada dalam Hutan Simpan Piah bagi kegunaan pengeluaran kayu balak.

Menerusi pembiayaan Kementerian Pembangunan Luar Bandar, laluan terbabit telah ditambah baik bagi kemudahan penduduk Orang Asli Pos Kuala Mu.