DAP didakwa punca kerajaan PH runtuh

Najmil Faiz
Najmil Faiz
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Exco Pemuda UMNO, Datuk Dr Najmil Faiz Mohamed Aris menegaskan kemelut politik yang berlaku sehingga membawa kepada kehilangan majoriti kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PH) didakwa berpunca daripada DAP.

Dr Najmil Faiz berkata, ia ekoran sikap DAP yang rasis, anti nasional dan cauvanis sehingga menjadi beban utama kepada kerajaan PH sepanjang memerintah negara.

"Ia secara tidak langsung menjadi faktor utama kerajaan hilang keupayaan mentadbir sehingga mengakibatkan ketidaktentuan politik negara.

"Negara kita tidak bergerak ke hadapan kerana sering dibelenggu isu perkauman, agama dan sebagainya sehingga menimbulkan kemarahan rakyat Malaysia.

"Malah, sikap sesetengah daripada pimpinan mereka yang mendesak penyokong Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) dibebaskan serta mendesak SOSMA [Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012] dimansuhkan membawa padah apabila rakan komponen mereka mengisytiharkan keluar daripada PH," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Jelas Dr Najmil, realitinya, UMNO adalah penyelamat kepada krisis politik negara.

"Ahli Parlimen UMNO memainkan peranan penting untuk mengembalikan kedaulatan negara.

"Saya yakin pemimpin UMNO akan melakukan yang terbaik untuk rakyat dan negara kerana kita tidak pernah mengenepikan matlamat asas parti kita dan meneruskan agenda membela rakyat," katanya.

Artikel Berkaitan: