'Sebagai kakak, saya sudah melakukan bahagian saya' - Neelofa

SELEBRITI terkenal, Neelofa memberitahu sudah menjalankan tanggungjawab sebagai kakak untuk menegur adiknya yang juga pempengaruh, Ameera Khan atau dikenali sebagai Little Miss Khan berikutan keterbukaan berkongsi foto mesra bersama kekasih, Jefri Nichol di media sosial.
Bagaimanapun isteri kepada pendakwah bebas dan pelakon, Haris Ismail itu memilih untuk tidak mendedahkan butiran percakapan atau nasihat yang dilontarkan kepada adiknya.
"Saya tidak boleh berkongsi dengan orang luar apa yang saya lakukan. Cuma sebagai kakak, saya sudah melakukan bahagian saya dan tahu apa yang sesuai untuk dilakukan terhadap adik saya.
“Kita ambil cakna, tetapi saya rasa tidak perlu kongsikan kepada khalayak mengenai apa yang kami buat atau bincangkan.
“Cukup sekadar perkara ini diketahui oleh adik-beradik, ibu, dan ayah sahaja,” katanya seperti dilaporkan Media Hiburan.

Neelofa berkata demikian selepas menerima Anugerah Wanita Inspirasi sempena The Muslim World Women’s Summit: Voices of H.E.R Festival dan Anugerah Ibu Zain 2025 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, pada Rabu.
Dalam masa sama, Neelofa turut meminta semua pihak agar tidak terus mengecam Ameera, 24, dan terus mendoakan yang baik-baik.
“Sekalipun kamu suka atau tidak suka, tolong selitkan doa yang baik. Susunan takdir Allah dan segala perancangan boleh diubah menjadi sesuatu yang baik dengan doa yang baik.
"Sudah tentu saya nak yang terbaik untuk adik-adik dan kakak saya,” ujarnya.
Tambah Neelofa, dia bersama keluarga mempunyai pendekatan tersendiri dalam menangani isu yang timbul.
Bahkan, kontroversi percintaan Ameera dan Jefri yang juga pelakon sensasi Indonesia itu tidak mengganggunya walaupun turut sama dikecam warga maya.

“Alhamdulillah, tak mengganggu saya langsung. Namun, tak bermakna saya tak peduli dengan teguran dan nasihat orang.
“Kami ada cara tersendiri. Mungkin keluarga lain ada pendekatan berbeza, tapi kami tahu apa yang terbaik untuk dia.
“Walaupun di mata orang belum cukup bagus, tapi insya-ALLAH kami faham apa yang perlu dilakukan,” katanya.
Terdahulu, Ameera menarik perhatian apabila memuat naik video dirinya duduk di riba Jefri sambil berpelukan mesra, menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan netizen.
Sebelum ini, Jefri pernah dikecam selepas mengaku pernah meniduri lebih 20 wanita, berlaku curang terhadap pasangannya, serta makan daging babi.
Ameera dan Jefri difahamkan pernah bercinta sebelum hubungan mereka dikatakan berakhir pada Oktober 2021.
Anugerah
Sementara itu, mengulas mengenai Anugerah Wanita Inspirasi di The Muslim World Women’s Summit: Voices of H.E.R Festival & Anugerah Ibu Zain 2025, Neelofa berkata, penghargaan itu bukan sekadar pencapaian peribadi, tetapi satu simbol kekuatan, keazaman, dan peranan besar yang dimainkan oleh wanita dalam dunia hari ini.
“Anugerah ini bukan hanya untuk saya, tetapi untuk semua wanita di luar sana yang berusaha menggapai impian mereka tanpa mengorbankan prinsip dan nilai yang dipegang. Saya berharap kejayaan ini dapat menjadi inspirasi kepada lebih ramai wanita untuk berani mengejar cita-cita mereka.

“Kejayaan bukan hanya diukur dari segi pencapaian material, tetapi juga dari segi bagaimana kita memberi impak positif kepada masyarakat dan membawa perubahan yang lebih baik,” katanya.
Anugerah itu turut dedikasikan kepada semua wanita yang berani melangkah keluar dari zon selesa, berusaha tanpa mengenal lelah, dan terus berpegang teguh pada prinsip serta keimanan mereka.
“Semoga kita semua dapat terus menjadi inspirasi kepada satu sama lain dan membantu membentuk dunia yang lebih baik.
“Terima kasih kepada pihak penganjur atas penghargaan ini dan kepada semua yang sentiasa menyokong perjalanan saya. Moga Allah SWT terus memberkati langkah kita semua,” ujarnya lagi.
SUMBER: MEDIA HIBURAN
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
