'Selamat jalan Ilhamku... Awak cantik sangat, macam tengah tidur'

BANDAR BAHARU – "Awak cantik sangat, macam tengah tidur Ilham..." Itu luahan pilu seorang rakan jururawat Universiti Putra Malaysia (UPM), Nurul Ilham Noordin, 29, yang pergi menghadap Ilahi dalam satu kemalangan tragis pada Selasa lalu.
Pemergian Allahyarham Nurul Ilham yang terlibat dalam kemalangan menyayat hati selepas motosikal ditungganginya merempuh belakang sebuah lori yang berhenti di lorong kecemasan.
Kesan pelanggaran itu, arwah tercampak dan digilis dua kenderaan lain di Lebuhraya Lingkaran Penyuraian Trafik Kajang (SILK) pada Selasa sekitar jam 1 petang
Seorang rakan sekerja yang dikenali sebagai Nurfazeela di TikTok tidak dapat menyembunyikan rasa sebaknya, namun tetap bersyukur kerana dapat melihat Allahyarham buat kali terakhir bersama rakan-rakan lain.

"Selamat jalan Ilhamku... Alhamdulillah, akak sempat lihat wajah awak. Awak cantik sangat tadi, macam tengah tidur Ilham.
“Beruntung kawan-kawan kita dapat mandikan dan kafankan awak tadi. Rehatlah awak di sana Ilham. Awak akan selamanya di hati akak. Al-Fatihah,” katanya.
Jenazah jururawat itu yang terkorban dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Terap, Serdang di sini pada jam 8 malam, Rabu.
Suasana pilu menyelubungi tanah perkuburan semasa ahli keluarga, saudara-mara, dan rakan-rakan hadir memberikan penghormatan terakhir buat Allahyarham.
Tangisan hiba mengiringi pengebumian, tanda kehilangan yang begitu dirasai.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

