'Suami muda 10 tahun, bertanggungjawab, penyayang'

KOTA BHARU - "Suami saya penyayang, rajin cari duit serta tidak ambil dadah," demikian pengakuan Safiah, 45, yang memilih jejaka Pakistan sebagai teman hidup.
Ibu kepada dua anak itu memberitahu, walaupun suami muda 10 tahun namun dia seorang yang bertanggungjawab dengan menyediakan segala kelengkapan termasuk tidak pernah mengabaikan nafkah.
“Ini merupakan perkahwinan kedua saya, di mana suami sebelumnya lelaki tempatan pernah mengasari, mengabaikan tanggungjawab sebagai ayah serta terlibat dengan penyalahgunaan dadah.
“Awalnya ramai berpandangan sinis dengan perkahwinan ini termasuk ahli keluarga. Namun selepas mereka melihat saya dan anak-anak bahagia dan hidup lebih teratur mereka mulai menerima suami. Kami kini mengusahakan perniagaan makanan sebagai pendapatan utama.
“Saya akui selain bertanggungjawab, suami sangat penyayang dan menghargai saya serta anak-anak," katanya kepada Sinar Harian.
Sementara itu, seorang kakitangan swasta yang dikenali sebagai Azman, 38, memberitahu dia terpikat dengan isterinya yang merupakan warganegara Thailand selepas kerap kali berkunjung ke Pattani.
Ujarnya, peringkat awal perkenalan itu sekadar suka-suka namun menjadi serius selepas mengenali hati budi wanita berkenaan.
“Dua minggu sekali saya akan ke sana kerana mempunyai ahli keluarga di situ. Dari situlah kami mulai rapat dan memilih untuk berkahwin. Isteri sekarang berada di Kelantan dan membuka gerai kecil menjual pelbagai makanan.
“Saya buat keputusan untuk berkahwin dengannya selepas terpikat dengan sikap lemah lembut. Selain itu mudah dididik dan pandai masak menjadi pakej lengkap. Isteri juga pandai berdikari dalam mencari wang untuk membantu keluarga,” katanya yang dikurniakan dua cahaya mata.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

