Politik Malaysia, percaturan seterusnya dinanti

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perkembangan terkini politik negara termasuk kejutan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengubah kedudukannya kini sebagai Perdana Menteri Interim terus menjadi tumpuan pelbagai pihak untuk melihat apakah percaturannya selepas ini.

Tanpa sebarang petunjuk nyata mengenai hala tuju pengaturan landskap politik negara, tindakan dan langkah negarawan berusia 94 tahun itu pastinya menjadi perhatian pelbagai pihak termasuk pemerhati politik antarabangsa.

Berdasarkan kedudukannya sebagai Perdana Menteri Interim, Dr Mahathir akan menguruskan pentadbiran negara sehingga perdana menteri baharu dilantik dan Kabinet dibentuk.

Walaupun bergelar Perdana Menteri Interim, Dr Mahathir terus mendapat sokongan padu daripada parti-parti politik, waima PH mahupun pembangkang yang telah menyatakan sokongan mereka kepada kepimpinan beliau.

Memasuki hari ketiga kemelut politik negara, fokus hari ini pastinya tertumpu kepada gerakan parti-parti politik khususnya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang telah mengisytiharkan ‘bercerai’ daripada sekutunya dalam gabungan Pakatan Harapan (PH).

Selain itu, PH yang kini dianggotai DAP, PKR dan Amanah dijadual mengadakan mesyuarat Majlis Presiden pada malam ini manakala UMNO dan Pas pastinya sedang mencatur strategi demi kelangsungan politik mereka. - Bernama

Artikel Berkaitan: