''Jerung' kayu bakau, tunggu aku kejar sampai dapat' - Dr Akmal

JASIN - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh bersama pasukan polis berjaya mematahkan aktiviti mencuri kayu bakau di kawasan Hutan Paya Bakau, Ayer Tawar, Melimau di sini, pada petang Selasa.
Beliau yang juga Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan, berkata, kegiatan haram yang dilakukan individu tidak bertanggungjawab itu didakwa bermula sejak sebulan lalu dan disedari penduduk kampung berhampiran sebelum menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa.
Menurutnya, dipercayai aktiviti yang tidak mendapat permit daripada Jabatan Perhutanan Negeri Melaka itu melakukan kesalahan itu pada waktu Maghrib.
Katanya, setakat ini polis berjaya menahan seorang individu dipercayai 'anak ikan' dan yakin pihak berkuasa akan mengesan 'jerung-jerung' yang turut terlibat dalam kegiatan mencuri kayu bakau di sepanjang Ayer Tawar hingga ke Sebatu itu.
"Alhamdulillah semalam petang (Selasa) polis berjaya tangkap penyangak yang mencuri kayu bakau.
"Kepada jerung-jerung yang menjalankan perkara itu, kamu tunggu aku akan kejar kamu sampai dapat," katanya dalam perkongsian videonya di aplikasi TikTok.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jasin, Superintenden Mohamad Rusli Mat mengesahkan perkara itu dan serbuan dilakukan sepasukan polis dari Task Force Balai Polis Merlimau berjaya membuat serbuan di lokasi pada jam 6.30 petang dan menahan seorang pemandu lori yang membawa muatan kayu bakau.
Mohamad Rusli berkata, hasil pemeriksaan pada lori yang dipandu lelaki berusia 44 tahun mendapati sebanyak 145 batang kayu bakau dipercayai diperoleh secara tidak sah.
"Nilai rampasan kayu RM2,500 hingga RM3,000 manakala nilai rampasan lori RM15,000.
"Orang yang disyaki (OYDS) telah diserahkan kepada pihak berkenaan untuk tindakan lanjut," ujarnya.
Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 15(1) Akta Perhutanan Negara 1984 (pemakaian) 1985 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM500,000 dan penjara sehingga 20 tahun jika sabit kesalahan.
Jelasnya, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil bagi membantu siasatan dalam masa sama pihaknya akan terus memburu dan mengesan dalang kegiatan itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


