Polis prihatin hantar wanita OKU pulang rumah

NILAI - Seorang kakak terpaksa mendapatkan bantuan anggota polis bagi menghantar adiknya yang juga orang kurang upaya (OKU) pulang ke rumah di Tasik Senangin di sini selepas sukar untuk memboncengnya dengan motosikal.
Situasi meruntun jiwa itu dikongsikan Balai Polis Lenggeng di Facebook pada Selasa yang memaklumkan adik wanita itu baru sahaja keluar dari Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban sekitar jam 2 petang.
"Bagaimanapun terlalu sukar untuk kakanya itu membawa adiknya menaiki motosikal untuk pulang ke rumah dalam keadaannya yang tidak punya upaya untuk berpaut.

"Kesukaran menguruskan perjalanan adiknya yang mempunyai keperluan khas ini menyebabkan mereka terpaksa meminta bantuan pihak polis," katanya.
Tambahnya, atas dasar tanggungjawab dan keprihatinan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) Lenggeng telah mengambil inisiatif menghantar wanita OKU dan kakaknya itu ke rumahnya dengan menggunakan kereta bagi memastikan perjalanan mereka selamat.
"Sikap cakna dan prihatin terhadap masyarakat, terutama golongan OKU adalah keutamaan kita semua.

"Semoga lebih ramai di luar sana terus bersikap prihatin dan membantu mereka yang memerlukan," katanya.
Hantaran tersebut juga telah mendapat pujian daripada orang ramai susulan sikap cakna dan prihatin anggota Balai Polis Lenggeng itu.
Malah rata-ratanya menzahirkan perasaan lega akan tindakan anggota berkenaan dengan menyatakan polis dan masyarakat berpisah tiada.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
