Sokong KPM perkenal kelas kabin tangani sekolah padat

KPM memperuntukkan RM69 juta bagi menyediakan kelas kabin jenis IBS sebagai langkah jangka pendek dalam menangani isu sekolah padat.
KPM memperuntukkan RM69 juta bagi menyediakan kelas kabin jenis IBS sebagai langkah jangka pendek dalam menangani isu sekolah padat.
A
A
A

USAHA menangani masalah sekolah padat sebenarnya memerlukan penyelesaian yang cepat dan berkesan.

Dalam hal ini, langkah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memperkenalkan kelas kabin menggunakan teknologi sistem binaan berindustri (IBS) wajar mendapat sokongan semua pihak.

Pelaksanaan kelas kabin ini bukan sekadar penyelesaian sementara, tetapi satu langkah proaktif bagi memastikan murid dapat belajar dalam persekitaran yang lebih selesa.

Dengan peruntukan sebanyak RM69 juta, sebanyak 301 bilik darjah IBS akan diwujudkan di 95 sekolah di Selangor sahaja, sekali gus membuktikan keseriusan kerajaan dalam menangani isu kepadatan sekolah.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, menegaskan bahawa kelas kabin ini jauh lebih baik daripada kabin konvensional yang biasa digunakan oleh kontraktor. Ia telah diubah suai dan direka khas agar lebih kondusif untuk pembelajaran.

Selain penyediaan kelas kabin, KPM turut melaksanakan beberapa langkah lain termasuk penyuraian murid serta pengoperasian sekolah dalam dua sesi bagi memastikan tiada pelajar yang terpaksa belajar dalam keadaan tidak selesa.

Sebagai contoh, Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Pelangi Semenyih, Selangor dijangka beroperasi dalam dua sesi berikutan permintaan tinggi daripada ibu bapa. Langkah ini menunjukkan bahawa KPM mengambil pendekatan yang lebih holistik dalam menguruskan kepadatan pelajar di sekolah tertentu.

Namun, bagi memastikan kejayaan inisiatif ini, sokongan ibu bapa dan masyarakat amat diperlukan. Keprihatinan serta kesediaan mereka menerima penyelesaian sementara ini akan membantu mempercepat pelaksanaan sistem yang lebih baik untuk masa hadapan.

Dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), kerajaan telah meluluskan 103 projek pembinaan sekolah baharu serta 261 projek bangunan tambahan bagi sekolah yang mempunyai lebihan tanah.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, 17 sekolah baharu akan dibuka tahun ini, turut membuktikan kesungguhan Kerajaan Madani dalam menyediakan kemudahan pendidikan yang lebih kondusif.

Justeru, tindakan KPM memperkenal kelas kabin ini harus dilihat sebagai satu penyelesaian berkesan pada masa ini.

Keprihatinan kerajaan terhadap isu kepadatan sekolah bukan sahaja memberi manfaat kepada murid, tetapi juga memastikan sistem pendidikan negara terus berkembang dengan lebih baik.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!