'Bukan kami pengkhianat, tapi kumpulan lain dalam Pakatan Harapan'

No Image Caption
A
A
A

MALAM Jumaat lalu kita menyaksikan usaha sebahagian pimpinan Pakatan Harapan (PH) untuk memaksa Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menentukan tarikh beliau melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri dan melakukan peralihan kuasa kepada Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Usaha tersebut adalah kemuncak dari kempen mereka untuk menguar-uarkan isu peralihan kuasa sebagai agenda utama PH.

Kempen ini telah dimulakan sejak beberapa bulan yang lalu dengan kekerapan meningkat dari semasa ke semasa sehingga mengalihkan pandangan rakyat daripada usaha untuk memberikan tumpuan kepada agenda pemulihan ekonomi dan reformasi institusi.

Kempen ini telah menghakis keyakinan rakyat dan masyarakat pelabur terhadap kewibawaan kerajaan PH.

Pelbagai usaha dilakukan untuk memberi tekanan kepada Tun Dr Mahathir yang sedang mempersiapkan negara untuk menganjurkan Persidangan APEC pada bulan Disember 2020.

Persidangan ini amat penting kerana ia memberi peluang kepada usaha menampilkan Malaysia sebagai model transisi demokrasi yang mengutamakan agenda aspirasi rakyat.

ARTIKEL BERKAITAN: Seramai 11 ahli Parlimen PKR umum keluar parti

Kami yakin bahawa percubaan memaksa Perdana Menteri menentukan tarikh peralihan kuasa sebagai usaha jahat untuk menjadikan Perdana Menteri sebagai “lame duck PM”.

Ini adalah kerana menukar Perdana Menteri di tengah penggal memberi isyarat yang salah kepada rakyat dan masyarakat pelabur.

Artikel Berkaitan:

Peralihan kuasa di tengah-tengah penggal akan menggugat kesinambungan dasar-dasar dan persepsi rakyat terhadap kerajaan PH.

Justeru itu kami telah mengambil langkah proaktif untuk menggagalkan konspirasi untuk menjatuhkan Perdana Menteri di tengah-tengah penggal.

Langkah yang kami lakukan adalah untuk menjamin keyakinan rakyat dan masyarakat pelabur terhadap kestabilan dan kelangsungan dasar-dasar kerajaan yang bertujuan untuk meningkat tahap sosioekonomi rakyat seperti yang terkandung Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

Justeru itu kami menyangkal sekeras-kerasnya tuduhan pihak yang melabel kami sebagai pengkhianat.

Sebaliknya mereka yang berusaha untuk menjatuhkan Perdana Menteri di tengah penggal adalah pengkhianat sebenarnya.

Kerana mereka lebih mementingkan agenda mengambil kuasa Perdana Menteri dari perlaksanaan dasar-dasar kerajaan yang bertujuan memulihkan ekonomi serta meningkat kesejahteraan rakyat.

Usaha kami terbukti benar bahawa pihak tersebut kini menyedari kesalahan yang mereka lakukan.

Justeru itu kenyataan mereka menyokong Tun Dr Mahathir Mohamad meneruskan tugasnya sebagai Perdana Menteri hingga akhir penggal.

- Datuk Seri Mohamad Azmin Ali

- Zuraida Kamaruddin

- Datuk Saifuddin Abdullah

- Datuk Mohd Rashid Hasnon

- Datuk Seri Dr Santhara

- Datuk Mansor Othman

- Datuk Kamaruddin Jaafar

- Baru Bian

- Ali Biju

- Willie Mongin

- Jonathan Yasin