Lelaki maut dalam kebakaran, bateri basikal elektrik disyaki punca

Seorang lelaki maut dalam kebakaran rumah di barat Sydney pada pagi Selasa.
Seorang lelaki maut dalam kebakaran rumah di barat Sydney pada pagi Selasa.
A
A
A

SYDNEY - Seorang lelaki maut dalam kebakaran rumah di barat Sydney pada pagi Selasa, dengan penyiasat memberi tumpuan kepada bateri basikal elektrik yang sedang dicas sebagai kemungkinan punca kebakaran, lapor agensi berita Jerman (dpa).

Perkhidmatan kecemasan bergegas ke lokasi kejadian di Guilford sejurus sebelum jam 5 pagi (1800 GMT Isnin), menurut pihak berkuasa New South Wales (NSW).

Polis NSW berkata, lima penghuni dilaporkan berjaya menyelamatkan diri, manakala seorang lagi ditemukan di dalam rumah.

Lelaki itu yang belum dikenal pasti secara rasmi, dibawa keluar dari rumah namun tidak dapat diselamatkan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, kata perkhidmatan kecemasan.

Bomba dan Penyelamat NSW (FRNSW) berkata, penyiasat memberi tumpuan kepada bateri basikal elektrik yang sedang dicas sebagai punca kebakaran yang mengakibatkan kematian itu.

Pakar forensik telah memeriksa lokasi kejadian dan "mendapati bahawa pengecas yang tidak sesuai digunakan untuk mengecas bateri basikal elektrik di bilik tidur pada masa kebakaran", kata FRNSW dalam kenyataan. "Basikal penghantaran makanan itu ditemukan di luar rumah."

Jabatan bomba berkata, penyiasat "percaya bahawa bateri itu tidak dapat menyerap tenaga yang dijana oleh pengecas dan terlebih panas, yang mungkin menyebabkan kebakaran".

FRNSW juga berkongsi gambar dan rakaman bilik yang hangus terbakar. Sambil menunjuk ke arah tingkap bilik itu, penyiasat kebakaran NSW, Chris Hughes berkata, pada masa kebakaran, rakaman CCTV menunjukkan api keluar dari tingkap berkenaan, yang menunjukkan nyalaan seperti jet yang terhasil daripada bateri lithium-ion." - Bernama/dpa

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!