Bicara kes salah guna jawatan, pengubahan wang haram Muhyiddin bermula 17 September

Biacara kes salah guna jawatan, pengubahan wang haram Muhyiddin bermula 17 September depan
Biacara kes salah guna jawatan, pengubahan wang haram Muhyiddin bermula 17 September depan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perbicaraan kes menyalahgunakan kedudukan dan menerima wang daripada aktiviti haram dihadapi bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan bermula 17 September ini di Mahkamah Sesyen di sini.

Hakim Azura Alwi menetapkan 17 hingga 19 September, 6 hingga 8 Oktober dan 26 dan 27 November tahun ini serta 13 hingga 15 Januari tahun depan sebagai tarikh perbicaraan, selain menetapkan 14 Mei ini untuk pengurusan kes.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihak pendakwaan akan mengemukakan 30 saksi untuk memberi keterangan dalam perbicaraan kes itu.

Antara saksi pendakwaan disenaraikan ialah Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Peguam Chetan Jethwani yang mewakili Muhyiddin memohon pihak pendakwaan menyerahkan pernyataan saksi membabitkan saksi penting kepada pihak pembelaan sebelum perbicaraan bermula.

"Adalah tidak adil sekiranya kenyataan saksi diberikan kami untuk diteliti dalam tempoh masa yang singkat. Berikanlah kami sekurang-kurangnya empat minggu lebih awal sebelum mereka tampil beri keterangan di mahkamah,” katanya.

Wan Shaharuddin bersetuju untuk menyerahkan pernyataan saksi bagi saksi formal dua minggu sebelum perbicaraan, manakala saksi penting tiga minggu lebih awal.

Sementara itu, mahkamah turut membenarkan permohonan Muhyiddin untuk mendapatkan pasport antarabangsanya buat sementara bermula hari ini hingga 3 Mac bagi membolehkan beliau menghadiri persidangan di Belgium.

Artikel Berkaitan:

Muhyiddin, 77, sebagai perdana menteri (ketika itu) dan Presiden Bersatu, didakwa atas empat pertuduhan menggunakan kedudukan beliau untuk suapan berjumlah RM232.5 juta berkaitan Projek Jana Wibawa daripada tiga syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd dan Mamfor Sdn Bhd serta Datuk Azman Yusoff, bagi parti berkenaan.

Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.

Presiden Bersatu itu juga berdepan dua pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM195 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd, yang dimasukkan ke akaun CIMB Bank milik Bersatu di CIMB Bank Cawangan Menara KL, Jalan Stesen Sentral di sini antara 25 Februari dan 16 Julai 2021 serta 8 Februari dan 8 Julai 2022.

Beliau juga didakwa menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM5 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd yang dimasukkan ke dalam akaun AmBank milik parti Bersatu di AmBank cawangan Amcorp Mall, Petaling Jaya dekat sini, pada 7 Januari 2002. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!