Ayah lari rumah, merajuk anak tak izin kahwin lagi

JAKARTA - Gara-gara tidak dibenarkan kahwin lagi, seorang lelaki yang sudah bergelar datuk melarikan diri dari rumahnya di Ciputat Timur, Indonesia, lapor detik.com.
Ketua Polis Daerah Ciputat Timur Komisioner, Bambang Askar Sodiq berkata, lelaki berusia 65 tahun tiba di balai polis dalam keadaan terpinga-pinga dan meminta segelas air.
"Semasa lelaki itu datang ke balai polis, dia kelihatan seperti terpinga-pinga. Mula-mula dia cuma minta minum dan kemudian mengaku menumpang di rumah anaknya yang beralamat di Setu Bungur, Pondok Ranji, Ciputat Timur," kata Bambang.
Polis juga bertanya tempat tinggalnya dan lelaki mengaku masih ingat di mana dia tinggal sehingga akhirnya polis membawanya ke rumah anaknya pada hari yang sama.
“Pada hari Selasa, 11 Februari lalu, kira-kira jam 1 petang, dua pegawai polis telah mengiringi lelaki tersebut ke rumah anaknya untuk tujuan siasatan lanjut," katanya.
Berdasarkan maklumat keluarga, lelaki itu keluar dari rumah pada hari Isnin jam 12 tengah hari sebelum keluarganya mencari ayah mereka tetapi tidak berjaya menemuinya.
“Keluarga telah cuba mencari beberapa stesen bas, tetapi gagal menemuinya,” tambahnya.
Bambang menjelaskan lagi, keluarga lelaki itu menceritakan ayah mereka melarikan diri kerana tidak dibenarkan berkahwin lagi.
“Menurut anggota yang membawanya ke rumahnya, keluarganya memberitahu ayahnya melarikan diri dari rumah anaknya kerana ingin berkahwin semula tetapi anaknya tidak membenarkannya,” tambahnya. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!