#KaburAjaDulu trend anak muda Indonesia berhijrah ke luar negara

JAKARTA - Trend #KaburAjaDulu yang semakin popular di Indonesia dilihat sebagai satu gelombang anak muda untuk berhijrah ke luar negara bagi mencari peluang kehidupan yang lebih baik.
Menyingkapi perkembangan itu, Menteri Perlindungan Pekerja Migran Indonesia, Abdul Kadir Karding berkata, mereka yang mempunyai kecenderungan ke arah itu perlu terlebih dahulu meningkatkan kemahiran dan keupayaan mereka.
Menurut Karding, pekerja migran Indonesia harus mempunyai kemahiran yang mencukupi untuk bekerja dan mendapatkan gaji yang sesuai di luar negara.
"Masyarakat yang memiliki keinginan untuk berhijrah mereka perlu meningkatkan ketrampilan dan kemampuan mereka (supaya dapat diterima di negara yang ditujui)," katanya kepada Antara, pada Khamis lalu.
Berdasarkan data yang dikeluarkan oleh Badan Perlindungan Pekerja Migran Indonesia, sebanyak 272,164 pekerja migran Indonesia tercatat bekerja di luar negara sepanjang tahun 2024.
Majoriti mereka bekerja dalam sektor bukan profesional, dengan jumlah pekerja migran perempuan sebanyak 187,127 orang. Kebanyakan pekerja migran Indonesia berkhidmat di Hong Kong, Taiwan, Malaysia, Korea Selatan, dan Jepun. -Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!