Cubaan PN pujuk orang bukan Melayu hanya umpan - PH Selangor

SHAH ALAM - Pakatan Harapan (PH) Selangor mendakwa cubaan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali untuk memujuk orang bukan Melayu agar memberi sokongan kepada beliau hanya umpan.
Ketua Penerangan PH Selangor, Abbas Salimmi Che Azmi berkata, tidak mungkin perkara yang ditawarkan PN melalui Mohamed Azmin dapat dikotakan berikutan situasi dalaman dihadapi parti itu.
"Bahkan reputasi ketika Mohamed Azmin sebagai Menteri Besar Selangor dahulu tidak sehebat dibawah kerajaan Perpaduan Negeri Selangor yang ada pada hari ini.
"Melihat kepada situasi politik terkini, PN dilihat sedang berkecamuk antara parti komponennya. Semakin hari semakin jelas perpecahan dalam blok PN.
"Bagaimana rakyat boleh meletakkan kepercayaan kepada PN untuk mengemudi negara dan negeri?" soalnya.
Pada Ahad dilaporkan, Mohamed Azmin yang juga Ketua Pembangkang Selangor merayu kepada seluruh masyarakat Cina khususnya di Selangor bagi memberi peluang kepada parti itu untuk mentadbir negeri tersebut.
Beliau memberi jaminan bahawa komponen parti itu termasuk Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas akan mengembalikan kekuatan ekonomi.
Menurutnya, negara pada masa kini banyak bergantung dengan tenaga pekerja asing menyebabkan produktiviti menurun dan tiada sebarang peluang baharu.
Mengulas lanjut, Abbas Salimmi berkata, perpecahan blok PN terlihat bermula dari peletakan jawatan Bendahari Agung PN oleh Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang juga Menteri Besar Terengganu.
"Seorang Menteri Besar yang profesional dan telah menjawat jawatan tersebut dua penggal berturut-turut berbanding dengan beliau yang hanya sepenggal menjawat jawatan Menteri Besar Selangor dan lari meninggalkan posisi kerana ghairah untuk menjadi menteri di peringkat Persekutuan.
"Setiausaha Agung PN ini juga kalah pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan hanya menang tipis di Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Klang berbanding Ahmad Samsuri yang terus menjaga Terengganu dan menang pilihan raya kecil (PRK) Parlimen.
"Sudah tentu reputasi Menteri Besar Terengganu ini mengatasi reputasi Mohamed Azmin," ujarnya.
Menurut Abbas Salimmi, malah Pas tidak menyambut pandangan Mohamed Azmin apabila beliau mendakwa pilihan raya akan berlaku pada hujung tahun ini.
"Pandangan ini seolah-olah ditolak. Maka semakin jelas pelantikan beliau sebagai Setiausaha Agung PN ini terus memecah belahkan blok pembangkang PN.
"Dilihat juga dalam media sosial, penggerak media khususnya 'cybertrooper' PN sudah mula bercakaran secara terbuka menunjukkan perpecahan. Mereka saling membuka aib antara satu sama lain.
"Malah, Gerakan juga dilihat sering menongkah arus terutama soal kepentingan bukan Melayu. PAS dan Bersatu yang ghairah merebut sokongan orang Melayu dengan isu ekstrem sangat tidak menyenangkan Gerakan," katanya lagi.
Tambah Abbas Salimmi, kehadiran Gerakan dalam gabungan blok PN dilihat hanya sekadar ada parti yang di dominasi oleh bukan Melayu tetapi pengaruh serta peranan parti dibatasi PAS dan Bersatu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!