Generasi M perlu bersuara sebagai 'opinion makers': Sultan Nazrin

Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah bertitah pada Majlis Perasmian Muzakarah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Pusat Konvensyen Casuarina Meru hari ini. Foto: Bernama
Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah bertitah pada Majlis Perasmian Muzakarah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Pusat Konvensyen Casuarina Meru hari ini. Foto: Bernama
A
A
A

IPOH - Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah mahu generasi muda Islam terus cekal bersuara memenuhi peranan sebagai opinion makers yang berpengaruh.

Baginda bertitah, kumpulan ini yang berpegang kepada iman dan amat selesa menerima kemodenan, tidak begitu mudah menghadam nilai-nilai tradisi tanpa terlebih dahulu disahihkan dengan fakta dan data serta dibuktikan relevansi dalam dunia semasa.

"Peranan generasi M kini amat signifikan dan sangat berpengaruh untuk menggerakkan arah haluan dan menjadi penentu kepada ummah serta masa hadapan dunia.

"Mereka bukan lagi golongan yang diam bersila di atas tikar, mendengar dan menerima secara pasif sebarang apa yang diungkapkan. Melalui talian, mereka memiliki sumber-sumber ilmu alternatif yang membolehkan mereka membuat perbandingan dan penelitian untuk mendapatkan kepastian dan kesahihan," titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika merasmikan Muzakarah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertemakan ‘Menjunjung Kemuliaan Umat: Sejarah, Wawasan dan Harapan’ di sini hari ini.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah berkenan mencemar duli berangkat hadir pada Majlis Perasmian Muzakarah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Pusat Konvensyen Casuarina Meru hari ini. Foto: Bernama
Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah berkenan mencemar duli berangkat hadir pada Majlis Perasmian Muzakarah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Pusat Konvensyen Casuarina Meru hari ini. Foto: Bernama



Keberangkatan baginda diiringi Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.

Turut berangkat, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Puan Besar, Raja Nazhatul Shima Sultan Idris Shah serta Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah dan Raja Puan Muda, Tunku Soraya Sultan Abdul Halim.

Sultan Nazrin bertitah, selain memiliki modal intelek, generasi M ini melihat dunia dengan lensa luas dan kompleks serta berpandangan bahawa Islam hendaklah berupaya diterima oleh warga dunia dalam ruang peranan yang lebih lebar.

Artikel Berkaitan:

Baginda bertitah, mereka memilih untuk berperanan sebagai duta Islam, membawa suara kesederhanaan, melihat dunia sebagai pentas berlakunya pertemuan budaya dan bukan pertembungan budaya.

"Melalui media sosial secara vokal semakin menyuarakan rasa kecewa mereka dengan tafsiran-tafsiran agama yang mereka sifatkan tidak berlandaskan fakta dan hujah-hujah yang saintifik.

"Semoga generasi muda Islam akan menjadi ejen perubahan, tekun berusaha melakukan yang terbaik, gigih menerokai perantauan baharu serta kekal dengan pegangan akidah, dan tidak berkompromi dengan idealisme Islam," titah baginda.

Baginda turut menitahkan generasi dewasa wajib memahami pemikiran dan jiwa kumpulan ini dengan mengolah pendekatan yang berupaya menjadikan mereka aset penting serta hendaklah bersedia memberikan ruang lebih besar bagi membolehkan generasi muda Islam mengambil tanggungjawab dan memenuhi peranan kepimpinan.

Titah baginda, perangkaan 2010 menunjukkan satu bilion menyamai 63 peratus umat Islam dan 14 peratus penduduk dunia berada dalam usia di bawah 30 tahun iaitu generasi yang dirujuk sebagai ‘Generasi M’.

"Satu bilion remaja Islam ini sedang berada di tapak semaian. Mereka merupakan komponen terpenting yang akan mencorakkan ummah, faktor penentu yang bakal meletakkan ummah berada di status kemuliaan atau kehinaan.

"Agenda untuk meningkatkan kemuliaan umat Islam wajib memahami senario dan perubahan sosial, komersial dan demografi yang sedang berada di hadapan mata ketika ini," titah baginda.