KESUMA buat laporan rasmi dakwaan campur tangan siasatan TalentCorp

KESUMA menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk meneliti bukti, menentukan fakta dan mengambil tindakan yang bersesuaian berdasarkan undang-undang sekiranya terdapat asas untuk berbuat demikian
KESUMA menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk meneliti bukti, menentukan fakta dan mengambil tindakan yang bersesuaian berdasarkan undang-undang sekiranya terdapat asas untuk berbuat demikian
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) telah membuat beberapa laporan rasmi kepada pihak berkuasa berhubung dakwaan cubaan campur tangan dalam proses semakan dan siasatan di Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp).

Dalam kenyataan pada Khamis, KESUMA memaklumkan campur tangan itu didakwa melibatkan usaha menyebarkan maklumat yang mengelirukan, mempengaruhi individu dalam agensi serta mengalihkan perhatian daripada perkara yang sedang diteliti, sehingga berpotensi menjejaskan integriti dan kebebasan proses semakan dan siasatan yang sedang berlangsung.

Menurut kementerian itu, laporan berkenaan dibuat susulan maklumat dan bukti yang diterima bagi membolehkan siasatan dilaksanakan secara bebas dan sewajarnya.

"KESUMA menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk meneliti bukti, menentukan fakta dan mengambil tindakan yang bersesuaian berdasarkan undang-undang sekiranya terdapat asas untuk berbuat demikian,” menurut kenyataan itu.

KESUMA dan TalentCorp sedang melaksanakan proses transformasi dan pengukuhan tadbir urus organisasi di TalentCorp bagi memperkasakan tahap ketelusan, integriti dan akauntabiliti agensi.

Semakan yang dilaksanakan oleh pihak pengurusan TalentCorp bersama-sama kementerian telah mengenal pasti beberapa aspek tadbir urus yang memerlukan penambahbaikan, termasuk peruntukan perlembagaan syarikat, pematuhan terhadap dasar dalaman, kawalan dalaman serta mekanisme integriti dan akauntabiliti.

KESUMA menegaskan bahawa proses semakan perlu dilaksanakan secara bebas, telus dan teratur tanpa sebarang gangguan atau pengaruh yang tidak wajar, selain tidak akan berkompromi terhadap sebarang cubaan menggunakan kedudukan, pengaruh atau rangkaian bagi menjejaskan integriti proses tersebut.

"Proses semakan dan siasatan yang berkaitan turut melibatkan pekerja serta pihak pengurusan TalentCorp. Semua pihak yang terlibat hendaklah memberikan kerjasama sepenuhnya bagi memastikan proses tersebut dilaksanakan secara adil dan objektif.

"Sebarang tindakan lanjut akan ditentukan berdasarkan hasil semakan dan siasatan tersebut,” menurut kenyataan itu.

Artikel Berkaitan:

Menurut KESUMA, sepanjang proses berkenaan, operasi dan pelaksanaan program strategik TalentCorp akan diteruskan seperti biasa dengan agensi itu kekal fokus dalam melaksanakan mandat pembangunan bakat negara, termasuk meningkatkan kebolehpasaran graduan, membangunkan kemahiran masa hadapan serta memperkukuh penyertaan tenaga kerja. - Bernama

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!