MOT, KPDN akan bincang haramkan penjualan 'dummy buckle'

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke (kiri) bersama Pengerusi Lembaga Pelabuhan Klang Young Hian Wah pada sidang media selepas Pelancaran Malaysia Meritime Single Window (MMSW) dan Sambutan Tahun Baharu Cina 2025 di Pusat Konvensyen KSL pada Isnin. Foto Bernama
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke (kiri) bersama Pengerusi Lembaga Pelabuhan Klang Young Hian Wah pada sidang media selepas Pelancaran Malaysia Meritime Single Window (MMSW) dan Sambutan Tahun Baharu Cina 2025 di Pusat Konvensyen KSL pada Isnin. Foto Bernama
A
A
A

KLANG - Kementerian Pengangkutan (MOT) bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan mengadakan perbincangan bagi mengharamkan penjualan alat nyah aktif penggera tali pinggang keledar atau 'dummy buckle' yang dijual di pasaran.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, perbincangan itu untuk melihat dari sudut penguatkuasaan setiap kementerian berikutan penjualan alat berkenaan dilihat berleluasa serta menyalahi peraturan keselamatan jalan raya.

"Penggunaan dummy buckle memang tidak dibenarkan. Bagaimanapun, penguatkuasaan (jualan ‘dummy buckle’) bukan di bawah kementerian ini (MOT) sebaliknya KPDN. Sebab kita tahu, kebanyakan kenderaan baharu sekarang ada sensor (pengesan). Kalau tidak pakai tali pinggang keselamatan akan ada bunyi.

"Jadi ia memang melanggar peraturan ... sebab letak dummy buckle itu memang tidak pakai tali pinggang keselamatan,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina Lembaga Pelabuhan Klang dan Peluncuran Malaysia Maritime Single Window (MMSW) di KSL Convention Centre di sini pada Isnin.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan Hanif Yusabra Yusuf sebelum ini dilaporkan berkata, penggunaan alat nyah aktif penggera tali pinggang keledar dan tidak memakai tali pinggang keledar dengan sempurna oleh pemilik kenderaan dilihat menjadi trend semakin membimbangkan.

Beliau berkata, ia berikutan notis tertinggi yang dikeluarkan pada Operasi Khas Tahun Baharu Cina adalah bagi kesalahan tidak memakai tali pinggang keledar iaitu 195 kesalahan dengan lebih 30 peratus daripadanya menggunakan aksesori berkenaan.

Dalam pada itu, Anthony Loke berkata, larangan penggunaan soket 3-pin dan USB dalam semua bas ekspres pada 6 November tahun lepas masih berkuat kuasa sehingga polisi dan garis panduan pendawaian tambahan baharu dikeluarkan oleh MOT.

Beliau berkata, ketika ini satu standard piawaian pemasangan kabel dan soket di dalam bas juga sedang dibangunkan oleh Suruhanjaya Tenaga dan Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM) dan dijangka siap seawal Mei.

Artikel Berkaitan:

Media sebelum ini melaporkan seorang remaja lelaki maut dipercayai terkena renjatan elektrik ketika mahu mengecas telefon bimbit di soket dalam sebuah bas ekspres di Penang Sentral pada 6.10 petang, 1 November tahun lepas. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!