Warga Bangladesh mengaku salah cederakan, kurung wanita OKU

Miah (dua dari kiri) ketika dibawa keluar dari mahkamah pada Isnin.
Miah (dua dari kiri) ketika dibawa keluar dari mahkamah pada Isnin.
A
A
A
MELAKA - Pembantu kedai runcit warga Bangladesh didenda RM2,000 atau enam bulan penjara oleh Mahkamah Majistret di sini pada Isnin kerana mencederakan dan mengurung wanita orang kurang upaya (OKU) lembam pada Oktober tahun lalu.

Majistret Nur Afiqah Radhiah Zainurin menjatuhkan hukuman itu ke atas Miah Md Rokib,22, apabila dia menukar pengakuan bersalah selepas dua pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Berdasarkan pertuduhan pertama, Miah bersama-sama seorang rakan jenayah yang masih bebas didakwa dengan sengaja mendatangkan cedera kepada Tong See Yin berusia 23 tahun.

Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan (KK) dan dibacakan bersama dengan Seksyen 34 KK.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Blok L-G-16, Pangsapuri Kesidang, Taman Tasik Utama, Ayer Keroh di sini kira-kira jam 7 malam pada 1 Oktober tahun lalu.

Dia turut didakwa secara salah mengurung mangsa sama di tempat, masa dan pada tarikh sama mengikut Seksyen 342 KK dan dibaca bersama Seksyen 34 KK.

Jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 323 dan 342 KK, boleh dihukum penjara maksimum setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya.

Difahamkan mengikut fakta kes ketika, mangsa berada di belakang rumah pada jam 7 malam, dia telah didatangi dua lelaki Bangladesh yang membawanya masuk ke sebuah rumah di pangsapuri berkenaan dan dikurung.

Bagaimanapun mangsa yang merupakan OKU lembam berjaya diselamatkan kira-kira 30 minit kemudian selepas keluarganya membuat pencarian di sekitar pangsapuri itu.
Artikel Berkaitan:


Ketika ditemui mangsa dalam keadaan tangan dan kaki diikat dengan wayar pengecas telefon bimbit dan mengalami kecederaan di kepala.

Peguam K Ramalingam yang mewakili tertuduh memohon hukuman denda paling ringan dengan alasan ia adalah kesalahan pertama yang dilakukan tertuduh selain anak guamnya telah insaf atas perbuatan tersebut.

Hujahnya, tertuduh telah lima tahun bekerja di negara ini dengan memperoleh pendapatan RM1,500 sebagai pekerja di kedai runcit.

Pegawai Pendakwa Inspektor Norhayati Yusof memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran dikenakan terhadap tertuduh.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!