Rumah kongsi digempur, 105 warga asing ditahan

BATU PAHAT - Seramai 105 warga asing ditahan selepas rumah kongsi pekerja di sini, diserbu menerusi Ops Sapu pada Ahad.
Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, operasi pada jam 1 hingga 3 pagi itu dijalankan oleh Unit Penguatkuasa JIM Cawangan Batu Pahat, Muar dan Segamat serta pegawai Bangunan Sultan Iskandar JIM Johor.

"Tindakan diambil susulan aduan awam berhubung warga asing yang dipercayai tinggal di penempatan rumah kongsi tersebut tanpa pas atau permit yang sah. Dalam operasi itu, seramai 329 warga asing telah diperiksa.
"Kesemua mereka yang ditahan terdiri daripada 77 lelaki warga Bangladesh, 16 lelaki dan tujuh wanita warganegara Indonesia, dua lelaki warganegara Myanmar, dua lelaki warganegara Pakistan serta seorang lelaki warganegara India.
"Mereka yang ditahan berusia antara 18 tahun hingga 54 tahun," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Beliau memaklumkan, kesemua yang ditahan disyaki melakukan kesalahan bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tidak memiliki sebarang pas atau permit yang sah untuk berada di Malaysia.
Tambahnya, tahanan itu dibuat mengikut Seksyen 15 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tinggal lebih masa.
"Semua tahanan ditempatkan di Depot Imigresen Pekan Nenas, Pontian untuk siasatan dan tindakan lanjut.
"JIM Johor tidak akan berkompromi dan mengambil tindakan tegas terhadap majikan serta pemilik premis yang menggajikan pekerja asing tanpa dokumen perjalanan dan pas atau permit kerja yang sah," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!