'Ada RM4,500, boleh masuk kerja di Malaysia'

KOTA BHARU - Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kelantan mendedahkan ada dalam kalangan tekong menawarkan harga bermula RM4,500 kepada seorang pendatang asing tanpa izin (PATI) untuk membolehkan mereka masuk bekerja di Malaysia.
Pengarah JIM Kelantan, Mohamed Yusoff Khan Mohd Hassan berkata, kos tersebut melibatkan tambang kereta, bot, penginapan, makanan dan bayaran upah sepanjang perjalanan dari negara asal hingga ke lokasi yang ditetapkan di sini.
"Jumlah perbelanjaan ini diberitahu oleh PATI warganegara Myanmar semasa disoal oleh saya sendiri ketika mengikuti satu operasi baru-baru ini.

"Bagaimanapun, bayaran bagi PATI dari negara lain akan berubah-ubah bergantung kepada nilaian yang ditawarkan oleh tekong. Sebagai contoh jika datang dari Bangladesh mungkin harganya lebih mahal kerana perlu menaiki kapal terbang dan turun di Bangkok terlebih dahulu, manakala dari Myanmar hanya menggunakan laluan darat sahaja," katanya semasa sidang akhbar pada Ahad.
Sebelum itu beliau meluangkan masa bersarapan pagi bersama media Kelantan di sini.
Menurut beliau, PATI yang menggunakan jalan darat kosnya dikatakan lebih murah berbanding laluan udara.
Ujarnya, mereka ini akan dibawa oleh tekong masuk ke Malaysia melalui pangkalan haram yang ada di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand terutama di Sungai Golok.
Mohamed Yusoff Khan memberitahu, PATI akan ditempatkan di lokasi transit sebelum dibawa ke lokasi yang ditetapkan seperti sekitar Kuala Lumpur, Selangor serta Johor dan beberapa negeri lain.
"Kebanyakan PATI ke negara ini kerana terpengaruh dengan tawaran kerja yang memberikan upah lumayan seperti di sektor kilang dan pembinaan.
"Tekong yang terlibat pula bukan hanya melibatkan orang dari Kelantan sahaja tetapi di Thailand serta dari negeri lain di sini sehinggalah mereka (PATI) sampai di lokasi yang ditetapkan,"katanya.
Beliau mendakwa, tekong sanggup mengambil pelbagai risiko kerana upah yang ditawarkan kepada mereka juga lumayan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

