Kembara Pancing Melaka 2025 tawar hadiah RM50,050

MELAKA – Hadiah wang tunai berjumlah RM50,050 menanti pemenang pertandingan memancing Kembara Pancing Melaka 2025 di Pantai Tambak Klebang di sini pada Ahad ini.
Juara pertandingan akan membawa pulang hadiah wang tunai RM20,000, naib juara bakal menerima RM4,000 dan ketiga pula RM4,000.
Pemenang tempat keempat menerima RM500, kelima mendapat RM300, pemenang ke-6 hingga 10 (RM250), manakala ke-11 hingga 120 pula akan membawa pulang RM200.
Jurucakap penganjur, Amir Ali Mohamad berkata, pertandingan itu dianjurkan oleh Joran Unggul Event Management untuk menyokong usaha Tourism Malaysia dalam menggalakkan pelancongan dalam negeri menerusi kempen Cuti-Cuti Malaysia - melanconglah dalam negara.

Jelasnya, Kembara Pancing Melaka 2025 hanya mempertaruhkan kategori ikan terberat.
“Pantai Tambak Klebang terkenal dalam kalangan kaki pancing sebagai lubuk ikan bersaiz mega. Ini berikutan kawasan ini ialah tambak laut yang mengunjur hampir dua kilometer dari daratan asal.
“Justeru memancing di sini ibarat memancing di laut dalam. Acara ini adalah siri pertama Kembara Pancing Melaka yang dirancang bagi menyemarakkan industri pelancongan domestik,’’ katanya pada Isnin.
Beliau memberitahu, yuran penyertaan ialah RM100 untuk satu joran, manakala orang kurang upaya (OKU) pula hanya RM80 dan peserta boleh memenangi lebih daripada satu hadiah yang ditawarkan.
Tambah Amir, Tambak Klebang terkenal dengan spesies pari, jenahak, gerut-gerut, daun baru dan semilang.
“Ia adalah lokasi terbaik memancing bagi kategori pantai dengan keluasan kawasan memancing dua kilometer,” katanya.
Ujarnya, pertandingan bermula jam 9 pagi hingga 1 petang dan kaunter pendaftaran dibuka di lokasi pertandingan bermula jam 4 petang pada Sabtu hingga pertandingan bermula.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!