Anak pokok keruing RM2.5 juta dirampas

RANTAU PANJANG - Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya menumpaskan kegiatan penyeludupan tanaman apabila merampas anak pokok keruing bernilai RM2.5 juta di Gual Tinggi di sini pada Ahad.
Seorang lelaki berusia 33 tahun turut ditahan sekitar jam 9.15 malam semasa penugasan Op Taring Wawasan selepas didapati memandu sebuah lori dalam keadaan mencurigakan.
Komander Briged Tenggara, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, hasil pemeriksaan terhadap kenderaan terbabit telah menemukan sebanyak 5,000 anak pokok dipercayai diseludup dari Thailand untuk dibawa ke sebuah nurseri di Pahang.
"Tanaman ini disyaki mempunyai serangga perosak dan penyakit.
"Kes disiasat bawah Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 (Akta167) Seksyen 5," katanya kepada pemberita pada Isnin.
Menurut beliau, suspek dan barangan rampasan dibawa ke Balai Polis Rantau Panjang untuk tindakan selanjutnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

