Guna pasport berbanding pas sempadan ke Thailand

KOTA BHARU - Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kelantan menggalakkan orang ramai agar menggunakan pasport berbanding pas sempadan untuk ke Thailand.
Pengarah JIM Kelantan, Mohamed Yusoff Khan Mohd Hassan berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai beberapa tular yang mengatakan pas sempadan sering kehabisan serta berlaku kesesakan di Pusat Transformasi Bandar (UTC).
"Pas sempadan itu ada tetapi kita hadkan kepada 250 orang sahaja sehari. Ini kerana pihak kami bimbang jika ia tidak dapat disiapkan dalam masa sehari.
"Hal ini kerana setiap kali cuti sekolah atau cuti umum permintaan terhadap pas sempadan meningkat. Tidak lama lagi puasa, raya dan dijangka permintaan akan semakin bertambah," katanya semasa sidang akhbar pada Ahad.
Sebelum itu beliau meluangkan masa bersarapan pagi bersama media Kelantan di sini.
Menurutnya, setakat ini pas sempadan hanya boleh dibuat di UTC berbanding sebelumnya di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang dan Pengkalan Kubor, Tumpat.
Ujarnya, disebabkan itu pihak JIM mengesyorkan orang ramai agar menggunakan kemudahan pasport.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!