Ke arah memperkasakan drama

Seorang pengarah harus melakukan pemilihan pelakon dengan tepat, membentuk perwatakan, menyusun modul latihan, disiplin dan seumpamanya. (Aksi persembahan bertajuk 'Subuh Berdarah' sempena Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-217 lalu). Foto Bernama
Seorang pengarah harus melakukan pemilihan pelakon dengan tepat, membentuk perwatakan, menyusun modul latihan, disiplin dan seumpamanya. (Aksi persembahan bertajuk 'Subuh Berdarah' sempena Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-217 lalu). Foto Bernama
A
A
A

Dewasa ini telah kedengaran semula di sana sini pementasan drama. Suatu masa dahulu berlaku ketandusan dan kegersangan, kini telah mula datang musim hujan.

Pelbagai jenis drama yang dipentaskan seperti bangsawan, sandiwara dan drama moden iaitu yang beraliran realisme tetapi nampaknya sangat kurang drama pasca moden seperti absurd, surealisme, metahistoriografi dan metasejarah.

Menarik juga dalam konteks perkembangan drama yang mula pesat ini, kita kembali merevisi dan menelaah, suatu tugas yang besar dalam sebarang pementasan iaitu aspek pengarahan.

Sebuah kerja teater terbina atas kesatuan antara penggeraknya terdiri daripada pengarah, pelakon dan pereka seni. Pelakon bilangannya ditentukan oleh watak di dalam skrip, sementara pereka seni terdiri daripada pereka pentas, latar, props, penata cahaya serta muzik, penyedia kostum, penarik tirai dan sebagainya.

Pengarahlah yang menjadi tunggak kepada sesebuah persembahan teater itu. Tugas pengarah ibarat seorang perdana menteri bagi sesebuah negara, dialah yang akan menentukan corak pemerintahan teaternya. Di tangannya sama ada berjaya atau tidak kerja sesebuah pementasan. Kesimpulannya, pengarah menjadi nadi dan nyawa persembahan.

Teori pengarahan Craig, Reinhardt, Stanislavsky atau Brecht atau Antoine pada dasarnya memberikan lima prinsip tugas pengarah iaitu pengarah sebagai ketua, pentadbir, penterjemah, pengkreasi dan pengkritik. Bagaimana pun dalam teori termoden seperti teori Miller dan Wylie, pengarah boleh dibantu oleh seorang yang bernama pengurus atau penerbit.

Pengarah dalam pandangan mereka harus hanya menumpukan kepada penterjemahan dan kerja penghasilan teater tanpa mempedulikan urusan kewangan dan pentadbiran. Pengurus atau penerbitlah yang akan bertanggungjawab tentang segala hal di luar pementasan.

Sebagai pengarah, pertamanya mestilah mempunyai sahsiah sebagai ketua dan memiliki sifat-sifat ketuaan, yang suaranya diterima sebagai perintah, dan selalu berhemat dalam mengeluarkan kata-kata.

Sifat bertolak ansur dan menghormati pandangan orang lain tetapi bijak dan tegas adalah ciri-ciri seorang pengarah yang baik. Pendeknya sebagai ketua, pengarah tempat berlindung anak-anak buahnya, disayangi dan kata-katanya adalah diyakini.

Artikel Berkaitan:

Sifat ketua seseorang pengarah membawa mereka sebagai pentadbir. Ibarat pengendalian sebuah syarikat perniagaan, pengarah bertugas sebagai pengurus niaga yang akan memikirkan bagaimana hendak memasarkan produk. Usaha meningkatkan kumpulannya sampai ke taraf peringkat terhormat merupakan kesedaran asas seorang pengarah.

Tugas terpenting seorang pengarah ialah sebagai penterjemah. Mempunyai daya ketajaman memilih skrip yang baik, memiliki kekuatan untuk mentransformasikan teks bagi direalisasikan di atas pentas, dan mengenal pasti paralel dengan psikologi khalayak.

Dalam konteks terkini untuk memperkembangkan drama, pengarah harus mendapatkan skrip yang baharu. Skrip yang bertenaga membawa pemikiran yang jejak, relevan lagi signifikan. Pementasan kecil-kecilan dihargai, tetapi harus bersedia menghadapi pementasan yang besar dan membawa perubahan dalam pendramaan.

Kerja terjemahan skrip, transformasi dan penghijrahan bererti memindahkan unsur-unsur dramatik dalam teks kepada bentuk teater di atas pentas. Unsur dramatik jangan hilang bentuk teater harus dihidupkan. Konflik, aksi dramatik, imej- imej teaterikal dan unsur spektakular mestilah sentiasa berlegar dalam pemikiran pengarah.

Pengarah juga memastikan konkritisasi makna teks iaitu dengan menyelami isi batin, makna dalaman dan motif dramatis; supaya tafsirannya jangan terlalu jauh atau menyeleweng. Di samping itu jangan lupa tentang the horizon of expectation dan resepsi khalayak.

Dalam aspek lakonan, antara tugas pengarah yang terpenting, mempunyai ruang lingkup yang sangat luas. Pengarah harus melakukan pemilihan pelakon dengan tepat, membentuk perwatakan, menyusun modul latihan, disiplinkan dan seumpamanya.

Pendeknya, tugasnya daripada membaca skrip-skrip, memilih skrip, menghayatinya, memilih teori, teknik dan aliran pementasan, memilih pelakon, penyerahan watak, menentukan latihan, menetapkan tarikh pementasan dan hinggalah tamat persembahan adalah kuasa mutlak pengarah. Tentu sahaja berkongsi pengalaman dengan semua pelibat tanda pengarah yang demokratis dan dihormati.

Tugas pengarah yang tidak kurang pentingnya ialah sebagai pengkreasi. Seorang pencipta yang kreatif dapat menciptakan aspek-aspek dan unsur- unsur yang mampu membangunkan kekaguman pendramaan dan spektakular teatrikaliti persembahannya. Berkebolehan untuk melahirkan suasana, proporsi, stail, kesatuan dan perseimbangan mutu dan nilai estetikanya.

Misalnya, di sudut perekaan latar dapat dibangunkan stimuli dan visualisasi khalayak dan berfungsi terhadap penstrukturan pementasannya. Latar harus berperanan menjelaskan konsep masa dan tempat serta menimbulkan imej-imej dramatik. Hiasan dan pembaziran perlu dihindarkan. Latar biar sederhana tetapi berfungsi dan tidak menyakitkan mata khalayak.

Pengetahuan tentang penggunaan tatacahaya untuk mensuasanakan adegan atau babak sama pentingnya dengan keperluan latar bunyi dan kostum. Persesuaian, perimbangan dan menggunakannya dengan tepat, sistematis dan berimbang sangat dituntut. Tidak ada suatu unsur lebih penting daripada yang lain, kesemuanya bergabung menuju kepada kesatuan, hubungan dan kepadatan pementasan.

Sifat kreatif seorang pengarah dengan mudahnya dapat dibezakan dengan pengarah yang lain daripada sudut kehalusan interpretasi teks, penguasaan pelakon dan perimbangan penggunaan unsur-unsur spektakular pentas. Jiwa seninya sentiasa mencuba sesuatu yang baharu, tidak putus asa dan sentiasa mengembangkan dirinya dengan pengalaman, tontonan, pembacaan dan pembelajaran.

Sesungguhnya daya kreatif adalah kerja akal, berkait rapat dengan daya intelektual dan sensitiviti, justeru itu ia memerlukan latihan dan pematangan. Sifat tidak pernah puas hati dengan apa yang telah dikerjakan, akan mengembangkan kreativiti seseorang pengarah.

Dengan itu juga seorang pengarah harus mempunyai sifat-sifat kritis. Mampu dan berdaya mengkritik diri sendiri dan bersedia pula menerima kritikan orang lain; inilah yang perlu ada pada seorang seniman. Sesungguhnya di tangan pengarahlah maju mundur dan jatuh bangunnya sesebuah pementasan itu. Apabila telah ditakdirkan menjadi pengarah atau sutradara, lakukanlah dengan penuh tanggungjawab, simpatetik dan amanah.

Mana Sikana ialah nama pena Dr Abdul Rahman Napiah. Beliau ialah pengkritik, pengkaji dan penteori sastera terkenal Malaysia

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!