Hampir 26 tahun berjuang, akhirnya pekerja ladang bakal miliki rumah sendiri

SHAH ALAM - Hasrat 245 keluarga terdiri daripada pekerja ladang di lima kawasan di Selangor untuk memiliki rumah sendiri akhirnya tercapai setelah melalui pelbagai cabaran selama hampir 26 tahun.
Setiausaha Politik Pejabat Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Manivanan Gowin berkata, pekerja-pekerja tersebut berasal dari Ladang Mary, Ladang Nigel Gardner, Ladang Sungai Tinggi, Ladang Minyak dan Ladang Bukit Tagar.
"Hari ini, kita menyaksikan sejarah tercipta apabila nasib 245 keluarga pekerja ladang yang telah berjuang selama hampir 26 tahun untuk memiliki rumah mereka akhirnya berjaya diselesaikan.
"Sebagai bukti komitmen Kerajaan Madani, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga hadir merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Program Residensi Rakyat Harmoni Madani Bestari Jaya," ujarnya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, isu perumahan pekerja ladang ini sering dibangkitkan setiap kali pilihan raya umum (PRU) dan pilihan raya kecil (PRK), termasuk dalam PRU15 pada 2022 dan PRK Kuala Kubu Bharu pada 2024.
"Pimpinan Pakatan Harapan dan Kerajaan Madani telah memberikan komitmen bahawa isu ini akan diselesaikan dalam masa terdekat.
"Hari ini, terbukti bahawa janji yang diberikan kepada rakyat biasa, khususnya kepada pekerja ladang di kelima-lima ladang tersebut, telah dikotakan," ujarnya.
Manivanan turut menambah, sebagai individu yang turut berkempen di ladang-ladang tersebut, beliau percaya penyelesaian isu perumahan pekerja ladang ini hanya dapat dicapai oleh pemimpin yang mempunyai niat dan hasrat yang baik serta jujur dalam membela nasib rakyat yang tertindas.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!