'Ya ALLAH, jangan tarik nyawa aku sekarang' - Zamarul Hisham

TIADA lain yang berada di fikiran pelakon, Zamarul Hisham selain anak-anak yang masih kecil ketika 'berkampung' selama lapan hari di Unit Rawatan Rapi (ICU) akibat sesak nafas.
Zamarul atau nama lengkapnya, Zamarul Hisham Mohamed, 54, berkata, insiden tersebut disifatkan amat menakutkan apabila turut terbayang alam kematian ketika dibawa ambulans ke hospital.
"Waktu saya diusung ke hospital, saya cakap, 'Ya ALLAH, janganlah tarik nyawa aku sekarang sebab banyak yang aku tak sedia lagi'.
"Saya mula terbayangkan anak-anak di hotel, takkan nak tinggalkan mereka di sini (Port Dickson) sampaikan saya menangis, tetapi saya kena kuat.
"Saya berdoa, 'Ya ALLAH jika kau berikan sakit ini sebagai tanda untuk aku jadi lebih baik, aku reda tapi berilah aku peluang untuk tengok anak-anak aku membesar,” katanya dalam satu program televisyen pada Sabtu.
Suami kepada Diana Rafar itu turut berkongsi keadaan terkini dirinya selepas menerima rawatan di Hospital Port Dickson, Negeri Sembilan pada 5 Februari lalu.

Pelakon drama 'Langit Ke Tujuh' itu berkata, insiden tersebut dianggap sebagai satu teguran daripada ALLAH SWT untuk dirinya lebih muhasabah.
"Ini adalah peluang kedua. Bila balik rumah, saya rasa macam ALLAH bagi saya nafas baharu. Saya bersyukur dengan rezeki yang diberikan, tetapi mungkin ada masa kita lalai, jadi saya anggap sakit ini sebagai satu teguran dari-Nya.
"Kalau ini cara ALLAH beri hidayah untuk saya jadi lebih baik, saya reda. Tapi saya mohon diberikan peluang untuk terus hidup dan menebus kekurangan diri,” kongsinya.
Pada masa sama, beliau mengakui hatinya tiba-tiba begitu kuat mahu berubah, namun merasakan belum cukup baik selepas lebih tiga dekad bergelumang dalam dunia seni.
"Dalam jam 3 pagi, saya termenung dan berdoa, 'Tolonglah Ya ALLAH, saya nak jadi lebih baik, nak berubah.'
"Saya sendiri tak tahu kenapa tiba-tiba saya sebut macam tu. Mungkin sebab dalam hati, saya rasa banyak kekurangan, mungkin juga saya rasa diri ini tak cukup baik.
"Saya dah 31 tahun dalam industri. Kadang-kadang terfikir, sempat ke saya tebus semua dosa lalu? Tambah pula, ALLAH bagi saya ujian macam ni. Itu yang buatkan saya rasa sedih," katanya.
Untuk rekod, Zamarul dimasukkan ke ICU Hospital Port Dickson, Negeri Sembilan kira-kira jam 2 pagi 5 Februari laku akibat sesak nafas ketika di lokasi penggambaran.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

