Orang ramai beratur awal beli emas di Vietnam

HANOI - Orang ramai di ibu negara Vietnam mula beratur di luar kedai emas seawal jam 3 pagi untuk membeli barangan kemas sempena 'Hari Dewa Kekayaan' yang jatuh pada Jumaat yang mereka percaya akan membawa tuah dan kemakmuran pada tahun ini.
Mereka dilihat duduk di luar kedai emas di jalan Tran Nhan Tong walaupun cuaca sejuk akibat hujan sebelum pemilik kedai emas membuka perniagaan mereka pada jam 6.30 pagi.
Ketika ini, harga emas melonjak dengan ketara pada harga AS$3,550 setahil atau 40 gram (g).
Pembeli emas, Tran Thi Kim dari Wilayah Vinch Phuc berkata bahawa dia hanya memberi emas pada 'Hari Dewa Kekayaan' yang dipercayai bakal membawa nasib yang baik terhadap keluarganya.
“Setiap tahun, saya datang ke Bao Tin Minh Châu [kedai emas] untuk membeli emas.
"Saya rasa sepanjang tahun ini akan menjadi baik, membawa tuah untuk keluarga dan anak-anak saya akan berjaya dalam pelajaran dan berjaya," katanya kepada Viet Nam News.
Demi menarik pelanggan, segelintir kedai menyediakan produk khas bagi memenuhi permintaan pelanggan.
Pemilik kedai barang kemas, Phạm Thu Hien berkata, mereka memperkenalkan cincin yang memaparkan simbol kekayaan, kasih sayang dengan meletakkan seketul batu berharga di atasnya.
Menurut kepercayaan penduduk Vietnam bahawa hari ke-10 dalam bulan lunar pertama menyaksikan 'Dewa Kekayaan' akan pulang ke syurga.
Justeru, mereka akan membeli emas pada hari tersebut sebagai cara memberi penghormatan kepada tuhan yang dipercayai membawa tuah dan kemakmuran kepada pembeli sepanjang tahun. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!