Night at the Karangkraf capai sasaran, bantu pelajar bina keyakinan diri

SHAH ALAM - Program 'Night at the Karangkraf' yang menghimpunkan lebih 60 peserta berjaya mencapai matlamat dan objektif yang disasarkan Akademi Pendidikan Sinar Bestari (APSB).
Pengetua APSB, Meen Tahrin berkata, program yang pertama kali dianjurkan itu memberi pengalaman baharu kepada pelajar dengan membantu mereka membina keyakinan diri serta mengeratkan hubungan sesama rakan dalam persekitaran selamat dan menyeronokkan di luar bilik darjah.

"Walaupun pertama kali diadakan di Karangkraf, program ini berjaya mencapai matlamat penganjuran dan paling penting, keselamatan peserta terjaga dengan baik dan aktiviti berjalan seperti yang dirancang.
"Paling membanggakan apabila ibu bapa dan peserta memberikan maklum balas positif, membuktikan program ini bermanfaat.
"Saya melihat kejayaan program ini menjadi langkah awal untuk penganjuran yang lebih baik pada masa akan datang," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Sebagai rekod, program 'Night at the Karangkraf' yang berlangsung di Kompleks Kumpulan Karangkraf di sini pada 12 dan 13 Februari merupakan aktiviti persediaan kepada murid sekolah rendah untuk melangkah ke peringkat menengah.
Fokus utama program berkenaan dengan memberi pendedahan mengenai kaedah komunikasi, kebersihan diri, disiplin dan pengetahuan pengaruh rakan sebaya.
Dalam pada itu Meen memaklumkan, APSB bercadang untuk menganjurkan program seumpama itu dengan melibatkan lebih ramai peserta dalam skala yang lebih besar.
Justeru, menurutnya, APSB berharap dapat menjalin kerjasama dengan pelbagai pihak bagi memastikan penganjuran program yang lebih menarik dan bermanfaat pada masa akan datang.

"Besar harapan saya untuk bekerjasama dengan syarikat-syarikat korporat bagi menaja program di bawah APSB, sekali gus membantu menjayakan matlamat pendidikan dan pembelajaran lebih berkesan.
"Kepada peserta yang telah menyertai program ini, harapan saya agar mereka dapat pengalaman pembelajaran yang berharga, meningkatkan keyakinan diri serta membina kemahiran sosial melalui interaksi dengan rakan-rakan.
"Saya juga berharap mereka dapat berkongsi pengalaman ini dengan rakan-rakan di sekolah, seterusnya menggalakkan lebih ramai sertai program bermanfaat seperti ini," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
