Night at the Karangkraf kongsi ilmu luar bilik darjah

SHAH ALAM - Program Night at the Karangkraf yang akan berlangsung di Kompleks Kumpulan Karangkraf di sini pada 12 dan 13 Februari depan merupakan persediaan awal kepada pelajar sekolah rendah untuk melangkah ke peringkat menengah.
Editor Sinar Bestari, Nurbaya Abdul Rezak berkata, fokus utama program itu adalah memberikan pendedahan tentang kaedah komunikasi, kebersihan diri, disiplin dan pengetahuan mengenai pengaruh rakan sebaya.
"Kita memilih untuk melaksanakan program Night at the Karangkraf kerana mahu memberikan peluang kepada pelajar sekolah untuk mengetahui kaedah yang betul dalam menguruskan keperluan diri sama ada daripada segi mental dan fizikal, sebelum melangkah ke sekolah menengah.
"Ketika program dua hari ini berlangsung, pelbagai aktiviti menarik yang disediakan antaranya lawatan kerjaya, eksplorasi malam, slot bersama pasukan keselamatan dan persembahan 'talent time'," katanya ketika ditemui di Kompleks Kumpulan Karangkraf di sini pada Khamis.
Mengulas lanjut, Nurbaya berkata, pendedahan awal sangat penting agar pelajar sentiasa bersedia untuk menghadapi fasa baharu dalam dunia pembelajaran.
Ujarnya, suasana ketika di sekolah rendah dan menengah sangat berbeza, tidak kira sama ada daripada segi pembelajaran atau pergaulan bersama rakan-rakan sebaya.
"Jika pelajar tidak mempunyai pendedahan atau persiapan untuk ke fasa baharu, dibimbangkan mereka ketinggalan atau mudah terpengaruh dengan perkara yang tidak sepatutnya.
"Jadi kepada ibu bapa, rebutlah peluang ini dan daftarkan anak anda. Kami yakin semua aktiviti yang disediakan akan memberikan manfaat kepada anak-anak," katanya.
Pada masa sama, Nurbaya juga mengalu-alukan agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk bekerjasama dengan Akademi Sinar Bestari bagi menjayakan program Night at the Karangkraf.
Sementara itu, Penyelaras Akademi Pendidikan Sinar Bestari, Siti Farihan Ismail berkata, ibu bapa yang berminat untuk mendaftarkan anak-anak mereka boleh mengimbas kod QR yang dimuat naik di semua platform media sosial Sinar Karangkraf.
Menurutnya, yuran penyertaan hanya RM150 sahaja yang merangkumi makan dan minum tujuh kali sehari dan barangan aktiviti seperti 'sleeping bag', hadiah, cenderamata serta sijil penyertaan.
"Semua kelengkapan kita sediakan, insya-ALLAH selama dua hari anak-anak berada di program ini mereka akan berasa selesa. Begitu juga daripada segi keselamatan dan kesihatan, semuanya tersedia.
"Peserta yang hadir nanti hanya perlu membawa barang keperluan peribadi seperti pakaian untuk beribadah, sukan dan baju harian serta kelengkapan mandian," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!