Tidak perlu polemikkan penganjuran Majlis Jalinan Muhibbah Madani - Jakim

SHAH ALAM - Semua pihak diminta tidak mempolemikkan isu penganjuran Majlis Jalinan Muhibbah Madani sempena Tahun Baharu Cina 2025 yang dijadualkan berlangsung pada Ahad ini.
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee berkata, tindakan tersebut boleh menjejaskan usaha pengukuhan perpaduan antara kaum di negara ini.
"Marilah kita saling menyokong ke arah memperkukuh keharmonian negara Madani.
"Program seperti ini telah dianjurkan setiap tahun oleh Jakim untuk menyantuni masyarakat yang menyambut Tahun Baharu Cina selain memperkukuh ikatan perpaduan dan silaturahim masyarakat majmuk.
"Ia adalah sebahagian peranan yang dimainkan oleh agensi-agensi hal ehwal Islam untuk menyebarkan rahmah dan mesej keharmonian kepada masyarakat," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.
Majlis Jalinan Muhibbah Madani sempena Tahun Baharu Cina yang akan berlangsung pada 16 Februari di Dewan Hokkiean, Klang, Selangor merupakan program anjuran agensi itu dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) Islam seperti Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA).
Selain itu, program tersebut turut mendapat kerjasama Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim), Hidayah Centre Foundation (HCF) dan pihak berkuasa agama Islam negeri iaitu Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
