Terengganu adakan 'hari sapu bersih' besar-besaran

Razali
Razali
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri akan mengadakan 'Hari Sapu Bersih Terengganu' secara besar-besaran pada 22 April depan sempena sambutan Hari Bumi Sedunia.

Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Terengganu, Datuk Razali Idris berkata, program tersebut akan menjadi acara tahunan negeri itu bermula tahun ini.

Menurutnya, program pembersihan secara menyeluruh akan dilaksanakan di seluruh Terengganu menerusi inisiatif tersebut.

"Sebelum ini program Hari Sapu Bersih Terengganu ini diadakan secara kecil-kecilan, kali ini kita akan menghimpunkan seluruh rakyat Terengganu, termasuk pelajar universiti, badan bukan kerajaan (NGO), serta pelancong yang berada di negeri ini untuk sama-sama terlibat.

"Semua orang akan turun padang membersihkan kawasan masing-masing, termasuk kampung, bandar, institusi, kawasan pelancongan, serta perairan seperti pantai, sungai, dan laut,"katanya di sini pada Jumaat.

Dalam pada itu, Razali berkata, aktiviti pembersihan dalam air pula akan melibatkan penyelam profesional, nelayan, serta sukarelawan.

Jelas beliau, program itu akan menitikberatkan aspek kebersihan sebagai produk pelancongan utama Terengganu.

"Program Hari Sapu Bersih Terengganu juga telah menjadi ‘signature event’ bagi negeri itu dan telah dimasukkan dalam Kalendar Pelancongan Terengganu 2025.

Artikel Berkaitan:

"Kita mengetengahkan tema warna putih pada hari tersebut sebagai simbolkan kebersihan dan kesucian.

"Jadi, semua peserta digalakkan memakai pakaian putih sebagai tanda komitmen terhadap kebersihan," ujarnya.

Dalam perkembangan sama, katanya, program tersebut menggunakan tanda pagar #SapuBersih dan #CleanSlate untuk menonjolkan usaha pembersihan dan permulaan baru dalam menjaga kebersihan negeri.

“Program ini bukan sekadar menekankan aspek kebersihan fizikal, malah turut mengangkat aspek rohani kerana kebersihan adalah sebahagian daripada iman.

"Usaha ini bertujuan mendidik masyarakat bahawa kebersihan bukan sekadar tanggungjawab sosial, namun turut dituntut dalam agama," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!