Maklumat di Istana Negara setakat ini

Petugas media berkumpul di Pintu 2 Istana Negara sejak awal pagi tadi
Petugas media berkumpul di Pintu 2 Istana Negara sejak awal pagi tadi
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pintu 1 dan 2 Istana Negara menjadi tumpuan media bagi menunggu ketibaan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dijangka menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada jam 2 petang ini.

Pintu utama Istana Negara dikhaskan untuk Raja-Raja dan pemimpin luar negara bagi urusan rasmi manakala Pintu 3 untuk orang awam.

Difahamkan Anwar akan diiringi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail akan menghadap Tuanku berhubung situasi politik semasa berikutan desas-desus pembentukan kerajaan baharu.

Perkara tersebut disahkan Setiausaha Politik kepada Anwar, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak ketika ditemui media di luar pekarangan kediaman Datuk Seri Anwar Ibrahim di Bukit Segambut malam semalam.

Ketua parti dari komponen PH yang menyokong beliau dijangka turut sama dalam sembah menghadap itu.

Pada masa sama, Anwar Ibrahim mendakwa terkejut dengan perkembangan yang berlaku dalam negara dan percubaan pengkhianatan terhadap kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Sementara itu, menurut sumber, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dikatakan sepatutnya dijadualkan menghadap Yang di-Pertuan Agong pagi ini.

Bagaimanapun, setakat jam 12 tengah hari, tidak kelihatan kenderaan yang membawa Dr Mahathir memasuki Istana Negara.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain difahamkan, semua mesyuarat yang dijadualkan melibatkan Dr Mahathir hari ini dibatalkan.

Usaha Anwar, Wan Azizah dan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng untuk bertemu Dr Mahathir di Putra Perdana, Putrajaya pagi tadi juga gagal apabila Dr Mahathir tidak hadir ke pejabatnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Wan Azizah kini berada di PMO

Anwar, Guan Eng susuli Wan Azizah ke PMO

Anwar, Wan Azizah dijadual menghadap Agong

Menteri Kabinet tinggalkan PMO

Bagaimanapun, ketiga-tiga pemimpin itu berjaya bertemu Dr Mahathir di kediaman Perdana Menteri di The Mines Resort & Golf Club di Seri Kembangan kira-kira jam 10.45 pagi.

Semalam, lima parti politik pembangkang dan kerajaan masing-masing mengadakan mesyuarat khas berasingan di ibu negara yang dipercayai berkaitan pembentukan kerajaan baharu.

Susulan itu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersama pemimpin lain yang menyokong Dr Mahathir dilaporkan menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara.

Sekitar jam 5.35 petang, sebanyak 20 kenderaan golongan kenamaan (VIP) dilihat memasuki Pintu 2 Istana Negara dengan diiringi polis pengiring sebelum dilihat meninggalkan pekarangan Istana Negara pada jam 7.25 malam.

Pada sebelah malam, kesemua pemimpin yang menyokong Dr Mahathir termasuk UMNO dan Pas hadir dalam satu pertemuan Majlis Makan Malam Muafakat Ahli Parlimen di Hotel Sheraton, Petaling Jaya.

Antara yang hadir, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Tiada sebarang sidang akhbar diadakan namun ketika keluar dari dewan berkenaan, Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa memberi bayangan bahawa penguasaan Pakatan Harapan (PH) akan berakhir.

Beliau berkata, ada kemungkinan pakatan baharu akan ditubuhkan namun pembentukan pakatan baharu yang sebelum ini dinamakan sebagai Pakatan Nasional itu perlu mengikut Perlembagaan.

"Akan ada mesyuarat lagi selepas ini bersama Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. Kesimpulannya tunggu PM umumkan pakatan baru itu," katanya.