GMI catat pendapatan RM45.3 juta bidang teknologi maklumat

Azhar berucap dalam Majlis Amanat Ketua Pengarah Mara Bersama Warga Kerja GMI.
Azhar berucap dalam Majlis Amanat Ketua Pengarah Mara Bersama Warga Kerja GMI.
A
A
A

BANGI - German Malaysian Institute (GMI) mencatat peningkatan pendapatan sebanyak RM45.3 juta bagi tahun 2024 hasil permintaan tinggi dalam bidang Teknologi Maklumat.

Ketua Pengarah Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Seri Azhar Abdul Manaf berkata, selain daripada perkembangan pendapatan yang positif, kawalan kos dan langkah penjimatan turut menyumbang kepada lonjakan keuntungan sebelum cukai sebanyak 207 peratus.

“GMI terus mengukuhkan reputasinya dengan pembukaan Pusat Bahasa Jerman serta menyerlahkan kejayaan dalam Persidangan Majlis Penasihat Industri (IAC) 2024 yang berjaya memberi peluang kepada pelajar untuk membuat latihan industri di syarikat terkemuka seperti Siemens dan Bosch.

“Susulan kejayaan ini, GMI menerima pengiktirafan ABMS ISO 37001:2016 dan dinaik taraf sebagai GMI University College of Applied Science (GMI-UcAS),” katanya dalam Majlis Amanat Ketua Pengarah Mara Bersama Warga Kerja GMI yang dihadiri seramai 250 orang, di sini, pada Jumaat.

Azhar (lima dari kanan) bersama warga kerja GMI.
Azhar (lima dari kanan) bersama warga kerja GMI.

Turut hadir Pengarah Kanan (Pelaburan), Yahaya Sani; Pengarah Bahagian Pendidikan Tinggi, Siti Aminah Abdul Kadir; Pengarah Bahagian Pendidikan Menengah, Shahrizal Mohd Saderi; Pengarah Bahagian Pelaburan Pembangunan Subsidiari, Abdul Wahab Mustaffa; Ketua Pegawai Eksekutif GMI, Ahmad Solihin Mohamed Yusoff dan barisan pengurusan serta subsidiari Mara.

Dalam pada itu, menerusi sesi amanat tersebut, Azhar berkata, warga kerja Mara perlu berusaha dan bergerak lebih maju bagi terus mencapai kecemerlangan organisasi itu.

Tambahnya, kejayaan yang dicapai oleh Mara hari ini ialah hasil daripada kecemerlangan pengurusan dan kebebasan dalam menghasilkan karya terbaik.

Artikel Berkaitan:

“Kejayaan menguruskan organisasi ini ialah hasil daripada kebebasan yang diberikan kepada warga kerja dalam berkarya sehingga banyak memberikan wajah baharu kepada Mara.

“Saya berharap Mara akan terus bergerak maju dengan berani untuk mencapai kecemerlangan sekali gus menjadikannya sebuah organisasi unggul yang dibanggakan,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!