[VIDEO] Kes dadah: Nasib Eda Ezrin, suami dan empat rakan ditentukan 6 Mac ini

A
A
A

NARATHIWAT, THAILAND - Nasib penyanyi wanita sohor Kelantan, Eda Ezrin atau Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail, 30, suami serta empat lagi rakannya akan ditentukan pada 6 Mac ini.

Mahkamah Wilayah Narathiwat di sini pada Jumaat menetapkan tarikh tersebut sebagai keputusan kes penyanyi wanita itu bersama suami, Mohd Affendi Ahmad, 35, serta empat lagi rakan mereka iaitu Mohamad Alif Deraman, 33; Nur Aida Mamat, 33, Zuhaira Nasrin, 26, dan Erdieka Mohd Noor, 33.

Keputusan itu dibuat selepas kesemua saksi pendakwaan dan suspek selesai memberi keterangan selama tiga hari bermula pada 11, 13 dan 14 Februari.

Pada Jumaat, Eda Ezrin menjadi individu pertama yang memberikan keterangan sebelum dua rakannya, Erdieka dan isterinya, Zuhaira.

Penyanyi lagu Bea Sobar Bea itu memberikan keterangan selama satu jam.

Kesemua keluarga tertuduh hadir ke mahkamah untuk mendengar perbicaraan.

Sementara itu, menerusi jurubahasa bebas yang dilantik mahkamah, Eda Ezrin semasa memberi keterangan berkata, semasa hari kejadian, empat individu lain telah memasuki bilik hotelnya sebelum polis melakukan serbuan.

Artikel Berkaitan:

Nasib penyanyi wanita sohor Kelantan, Eda Ezrin atau Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail, 30, suami serta empat lagi rakannya akan ditentukan pada 6 Mac ini. (Eda Ezrin)
Nasib penyanyi wanita sohor Kelantan, Eda Ezrin atau Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail, 30, suami serta empat lagi rakannya akan ditentukan pada 6 Mac ini. (Eda Ezrin)

Katanya, empat individu terbabit dikenalinya sebagai Nabila, Mek Jue, Mek Da dan Sirik.

"Nabila dan Mek Ju telah masuk ke bilik saya kira-kira jam 3 pagi. Selepas berbual sekejap, Mek Ju masuk ke dalam bilik air selama lebih kurang 15 minit.

"Saya lihat Mek Ju ada bawa beg galas warna biru masuk ke dalam bilik air. Selepas 15 minit kemudian Nabila dan Mek Ju telah keluar dan meninggalkan bilik berkenaan," katanya menjawab soalan peguam.

Dalam keterangan Eda Ezrin, dua lagi individu yang dikenali sebagai Sirik dan Mek Da telah masuk ke dalam biliknya selepas itu.

"Kemudian, Mek Da terus masuk ke dalam bilik air sementara Sirik berbual-bual dengan saya. Selepas Mek Da keluar dari bilik air, mereka berdua meninggalkan bilik penginapan berkenaan.

"Lebih kurang 10 minit selepas itu polis melakukan serbuan," katanya.

Sinar Harian pada 14 Januari lalu melaporkan Eda Ezrin, suami dan empat lagi rakannya didakwa di Mahkamah Wilayah Narathiwat atas dua kesalahan iaitu mengambil dadah dan memiliki 6,059 biji pil kuda.

Kesemua tertuduh mengaku mengambil dadah di hadapan Hakim Yuan Khao Kham.

Bagaimanapun mereka tidak mengaku memiliki 6,059 biji pil kuda semasa ditahan di sebuah hotel di Golok di sini pada 1 November lalu.

Sementara itu Erdieka dan Zuhaira mengaku bersalah atas dua pertuduhan iaitu memasuki Thailand tanpa dokumen rasmi dan menduduki negara ini secara tidak sah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!