Warga emas disamun, dipukul guna bata simen

SETIU - Polis memburu seorang wanita disyaki terlibat dalam kes samun rantai leher milik warga emas dalam kejadian di Felda Kampung Rahmat, di sini pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Setiu, Superintenden Mohd Zain Mat Dris berkata, suspek berpura-pura bertanya mangsa mengenai rumah untuk disewa ketika kejadian kira-kira jam 1.15 tengah hari.
Menurutnya, wanita warga emas berusia 72 tahun itu memberitahu suspek, dia mengalami masalah penglihatan dan akan menunjukkan rumah sewa dicari.
"Suspek kemudian memimpin tangan mangsa ke rumah sewa bagi melihat keadaan rumah tersebut.
"Apabila tiba di rumah itu, suspek mengajak mangsa duduk di atas katil. Setelah mangsa duduk, suspek merebahkan mangsa lalu menekup mukanya menggunakan kain.
"Mangsa bergelut ingin melawan namun suspek telah memukul dahi sebelah kiri mangsa menggunakan serpihan bata simen sebelum melarikan rantai emas miliknya," katanya di sini pada Rabu.
Menurut Mohd Zain, kejadian itu disedari jiran mangsa apabila terdengar bunyi bising di hadapan rumah tersebut.
"Sebaik keluar dari rumah, jiran mangsa melihat mangsa dalam keadaan berlumuran darah di tangga rumahnya.
"Wanita tersebut segera menyuruh anaknya memanggil ahli keluarga untuk menghantar mangsa ke Hospital Setiu sebelum membuat laporan polis," katanya.
Mohd Zain berkata, Pasukan Siasatan Forensik (D10) telah ke lokasi kejadian untuk siasatan lanjut.
Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja menyebabkan kecederaan semasa melakukan rompakan.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes tersebut diminta tampil bagi membantu siasatan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
