'Ustaz jadi imam solat Isyak terakhir sebelum nahas' - Pekerja ladang

JEMPOL - Allahyarham Mohd Najmuddin Shapie, 31, sempat menyelesaikan tugas terakhirnya menjadi imam solat Isyak sebelum maut bersama tiga bekas muridnya dalam kemalangan di Kilometer 6 Jalan Bahau-Rompin di sini, pada malam Rabu.
Allahyarham yang lebih dikenali sebagai ustaz dalam kalangan pekerja Ladang FGV Palong 18 turut disifatkan sebagai seorang yang ceria dan peramah.
Perkara itu dikongsikan salah seorang pekerja ladang berkenaan, Syahrul Azmi Hamid, 45, yang menjelaskan Allahyarham merupakan imam di Surau Darul Hijrah di ladang ini merupakan kakitangan FGV selain turut mengajar mengaji anak-anak di surau sama.
"Seperti kebiasaan arwah jadi imam solat Isyak sebelum dia mengajak anak muridnya ke Pekan Bahau untuk makan malam dan saya difahamkan kemalangan itu hanya beberapa kilometer dari kedai makan hendak mereka dituju.
"Solat Isyak berjemaah itu yang terakhir dipimpin arwah dan tidak dinafikan kehilangan itu sangat dirasai oleh pekerja ladang di sini," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Katanya, selain menjadi imam, ada kalanya Allahyarham turut menjadi muazzin di surau berkenaan.

Shahrul Azmi berkata, kehilangan Allahyarham bukan sahaja dirasai oleh pihak pengurusan ladang, pekerja bahkan anak muridnya termasuk anaknya sendiri yang pernah mengaji dengan arwah.
"Anak saya yang berusia 16 tahun sudah boleh memimpin bacaan tahlil atas tunjuk ajar yang diberikan arwah, dia juga sangat ringan tulang membantu tugasan di pejabat sekiranya tiada program di surau.
"Arwah juga gemar mengadakan majlis tahlil setiap malam Jumaat dan dihadiri oleh pekerja ladang malah ada pekerja ladang yang turut menimba ilmu daripadanya," katanya.
Berkongsi lebih lanjut, Shahrul Azmi berkata, dua hari sebelum kejadian dia ada melihat arwah termenung di depan surau sambil melihat kipas namun tidak berkesempatan untuk menegurnya.
Mohd Najmuddin meninggal dunia selepas kereta Perodua Axia dipandunya terbabit kemalangan dengan dua kenderaan lain dalam kejadian kira-kira jam 9.05 malam yang turut mengorbankan empat lagi nyawa termasuk tiga anak muridnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!