Mirnawan kembali pamer kehebatan di gelanggang

[DIKEMAS KINI] LEGENDA hoki negara, Datuk Mirnawan Nawawi, kembali mempamerkan kehebatan apabila mengetuai ASPAC menjuarai Cabaran Muhibah Berpasukan PickleUnite SportsUnite 2025 di Gelanggang PickleJam, Kepong, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Ketika berkongsi penglibatan dalam sukan itu, bekas kapten The Speedy Tigers yang memenangi pingat perak Sukan Komanwel Kuala Lumpur 1998 berkata, dia mula menceburi pickleball pada Mei 2023.
“Sejak itu, saya aktif turun ke gelanggang bermain empat hingga lima kali seminggu.
“Saya mempelajari sukan ini dengan menentang pemain yang lebih berpengalaman.
“Selain itu, saya juga mendapatkan tips daripada jurulatih melalui platform YouTube,” katanya.
Hasil disiplin tinggi biarpun baru menceburi sukan ini, Mirnawan membuktikan mampu meraih kejayaan apabila mengetuai ASPAC menjuarai Cabaran Muhibah Berpasukan PickleUnite SportsUnite 2025.
Sebagai rekod, ASPAC turut dianggotai dua pemain bola sepak wanita negara, Steffi Sarge Kaur dan Intan Sarah Anisah Zulgafli, Nabil Fikri Hairi, Jay Jay Dennis dan Lim Ju En.

ASPAC telah menunjukkan prestasi yang membanggakan apabila memenangi 16 daripada 21 perlawanan.
KL Patriots muncul naib juara, manakala tempat ketiga dimenangi Pickle Noobs.
Cabaran Muhibah Berpasukan PickleUnite SportsUnite 2025 disertai lapan pasukan yang berentap dalam format liga sepusingan.
Pertandingan melibatkan acara beregu lelaki, beregu wanita, dan beregu campuran, dengan syarat setiap pasangan terdiri daripada pemain pelbagai kaum.
Sementara itu, Pengerusi SportsUnite, Shergar Reza berkata: “Syabas buat ASPAC yang muncul juara, SportsUnite berasa semua pasukan di sini tetap merupakan pemenang dalam menganjurkan semangat muhibah dan setiakawan.”
INFO
Pickleball, sukan yang semakin mendapat tempat di Malaysia, dimainkan menggunakan raket yang menyerupai raket ping pong untuk memukul bola bersaiz besbol merentasi jaring yang mirip jaring tenis di gelanggang bersaiz badminton.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
