Sumbangan alat AED Muip bantu jemaah alami serangan jantung di masjid

KUANTAN - Lima masjid di Pahang menjadi masjid sulung menerima sumbangan alat bantuan pernafasan Defibrilator luaran automatik (AED) Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip).
Ketua Pegawai Eksekutif Muip, Datuk Ahmad Hairi Hussain berkata, peralatan AED berharga lebih RM9,000 setiap satu itu adalah peranti perubatan mudah alih dan mesra pengguna yang direka untuk membantu individu mengalami serangan jantung secara tiba-tiba.
Menurutnya, dengan adanya alat itu, rawatan awal dapat diberikan sekiranya ada jemaah terkena serangan jantung sementara menunggu pihak perubatan tiba.
"Selain Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 di sini, peralatan AED ini buat permulaan turut disumbang kepada Masjid Tengku Ampuan Afzan, Indera Mahkota, Masjid Tareq bin Ziyad Kempadang Perdana,Masjid Tengku Panglima Perang Tengku Muhammad dan Masjid Temerloh Jaya,Temerloh.
"Peruntukan untuk sumbangan sulung lima alat ini dianggarkan hampir RM50,000," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis penyerahan peralatan itu di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 di sini pada Khamis.
Ahmad Hairi berkata, Muip turut merancang untuk memperluaskan sumbangan peralatan itu di semua masjid utama dan masjid daerah di negeri ini.
"Kita ada perancangan itu, Insya-ALLAH kita akan laksanakan penyerahan alat ini di semua masjid daerah secara berperingkat tahun ini dengan peruntukan RM60,000 hingga RM70,000 setahun bagi tujuan tersebut," katanya.
Tambah beliau, wakil masjid yang menerima sumbangan peralatan AED tersebut telah diberi taklimat tentang kaedah penggunaannya.
"Kita minta pihak pengurusan masjid terlibat memberi taklimat semua tentang penggunaan alat itu terutama ahli jawatan kuasa masjid supaya lebih ramai yang tahu menggunakan sekira ia diperlukan.
"Terpulang sama ada mereka (masjid) hendak lantik individu dan tubuh pasukan bagi urusan itu di masjid masing-masing," katanya.
Ujarnya, selain khusus untuk kegunaan di masjid, peralatan itu juga boleh dibawa ke tempat lain sekiranya diperlukan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!