RTS Link capai kemajuan 100 peratus - Anthony Loke

Projek pembinaan RTS Link antara Malaysia dan Singapura berjalan mengikut jadual dengan mencapai kemajuan 100 peratus setakat hujung bulan lalu. Gambar kecil: Anthony Loke - Foto: Bernama
Projek pembinaan RTS Link antara Malaysia dan Singapura berjalan mengikut jadual dengan mencapai kemajuan 100 peratus setakat hujung bulan lalu. Gambar kecil: Anthony Loke - Foto: Bernama
A
A
A

JOHOR BAHRU - Projek pembinaan Sistem Transit Rapid (RTS) Link antara Malaysia dan Singapura berjalan mengikut jadual dengan mencapai kemajuan 100 peratus setakat hujung bulan lalu.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, ia membabitkan pembinaan infrastruktur landasan RTS Link.

"Kemajuan pembinaan projek RTS bahagian Malaysia, telah mencapai tahap kemajuan yang memberangsangkan kerja-kerja pembinaan infrastruktur rel bagi Kategori Tahap 1 telah disiapkan.

"Selain itu, akses telah diberikan kepada OpCo (RTS Operations Pte Ltd) pada akhir September tahun bagi memulakan kerja-kerja pemasangan sistem rel.

"Ini termasuk pemasangan pelbagai sistem utama termasuk kerja-kerja landasan, bekalan dan pengagihan tenaga, telekomunikasi, sistem semboyan, pintu skrin platform, serta sistem kutipan tambang atau pagar automatik," katanya.

RTS Link dijadualkan siap menjelang Disember 2026 menghubungkan Bukit Chagar ke Woodlands North dengan masa perjalanan selama lima minit.

Dengan kapasiti puncak 10,000 penumpang sejam setiap hala, RTS Link bertujuan meningkatkan ketersambungan rentas sempadan dan memupuk hubungan Malaysia-Singapura yang lebih kukuh.

Pada majlis yang sama, Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) dan Sunway Integrated Properties Sdn Bhd menandatangani kerjasama strategik untuk membangunkan Pembangunan Bersepadu Bukit Chagar dengan nilai pembangunan kasar (GDV) dianggarkan melebihi RM2.6 bilion.

Artikel Berkaitan:

Anthony Loke berkata, menerusi gabungan komponen perumahan, komersial, pusat membeli-belah, hospitaliti dan kesihatan, pembangunan seluas kira-kira 1.711 hektar bersebelahan stesen Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru-Singapura berkenaan akan mewujudkan satu ekosistem bandar yang berdaya sendiri.

"Impak projek pembangunan bersepadu ini bukan sahaja terbatas di Bukit Chagar, tetapi turut membawa kesan yang jauh lebih mendalam kepada kemajuan Johor secara keseluruhan.

"Gabungan beberapa projek utama yang kini berlangsung di Johor Bahru meletakkan Johor di landasan kukuh untuk muncul sebagai salah satu negeri paling maju di Malaysia, didorong oleh inisiatif strategik seperti Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ)," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!