Pengendali Bas.My perlu ikut jadual laluan walau ada seorang penumpang - Anthony Loke

Anthony Loke (tiga dari kiri) ketika merasmikan program Pelancaran Bas.My Seremban pada Selasa.
Anthony Loke (tiga dari kiri) ketika merasmikan program Pelancaran Bas.My Seremban pada Selasa.
A
A
A

SEREMBAN - Semua pengendali bas Program Transformasi Perkhidmatan Bas Berhenti-henti (SBST) atau Bas.My diingatkan supaya sentiasa mengikuti jadual laluan yang ditetapkan walaupun hanya ada satu penumpang dalam satu-satu masa.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, perkhidmatan Bas.My ini akan dipantau melalui Sistem Kedudukan Global (GPS) dari segi ketersediaan perkhidmatan dan ketepatan masa.

"Ia bagi memastikan tahap perkhidmatan dalam keadaan cekap, selamat dan efisien.

"Sekiranya pengendali gagal menepati petunjuk prestasi utama (KPI) yang ditetapkan bagi dua aspek ini, penalti akan dikenakan.

"Dalam skim ini pengendali tidak boleh potong frekuensi atau laluan yang ditetapkan walaupun hanya ada seorang penumpang, tiada alasan untuk mereka potong (laluan) sebab kalau potong mereka tidak dapat bayaran," katanya pada Program Pelancaran Bas.My Seremban di sini pada Selasa.

Dalam pada itu katanya, Program SBST Seremban yang bermula pada tahun 2015 kini telah diperbaharui sehingga tahun 2029 dengan beberapa penambahbaikkan dari segi jenis bas dan kemudahan untuk pengguna.

"Kerajaan melantik dua pengendali secara tender terbuka untuk menjalankan perkhidmatan Bas.My Seremban di Negeri Sembilan agar setiap pengendali dapat memberi fokus kepada kawasan masing-masing selain memastikan perkhidmatan yang cekap dan efisien dapat diberikan kepada rakyat.

"Bas.My di Seremban melibatkan tujuh tujuh kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) iaitu Majlis Bandaraya Seremban, Majlis Perbandaran Port Dickson, Majlis Perbandaran Jempol, Majlis Daerah Jelebu, Majlis Daerah Kuala Pilah, Majlis Daerah Rembau dan Majlis Daerah Tampin.

Artikel Berkaitan:

"Melalui inisiatif Bas.My Seremban ini, sebanyak 85 bas baharu termasuk 18 bas panjang, 61 bas mini dan mini low floor serta dua van," katanya.

Ujarnya, bas-bas yang digunakan juga ditambah dengan ciri-ciri keselamatan seperti kamera litar tertutup (CCTV) bagi memantau keselamatan penumpang di dalam dan di luar bas.

"Selain memastikan perkhidmatan bas yang berkualiti disediakan, Kerajaan Madani juga amat prihatin terhadap kos pengangkutan awam yang ditanggung oleh rakyat. Oleh itu, pas bulanan perjalanan tanpa had Bas.My akan diperkenalkan di Seremban.

"Dengan Pas Bulanan Bas.My ini, pengguna hanya perlu membayar RM50 untuk perjalanan tanpa had di kesemua 21 laluannya bagi tempoh 30 hari.

"Kita juga akan memperkenalkan kad konsesi Bas.My yang boleh dinikmati oleh golongan warga emas berumur 60 ke atas, orang kurang upaya dan pelajar sekolah berumur tujuh sehingga 17 tahun.

"Mereka hanya mendaftar sekali sahaja dengan membayar RM10 sahaja sekali gus membolehkan mereka menggunakan perkhidmatan percuma ini," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!