Hasrat Johor miliki ART bakal jadi kenyataan

Anthony (berdiri, tiga dari kiri) menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Kerjasama Strategik bagi Pembangunan Hartanah Bersepadu di Bukit Chagar, Johor Bahru pada Khamis.
Anthony (berdiri, tiga dari kiri) menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Kerjasama Strategik bagi Pembangunan Hartanah Bersepadu di Bukit Chagar, Johor Bahru pada Khamis.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Hasrat Johor memiliki Sistem Aliran Transit Automasi (ART) bertingkat di bandar raya ini, hampir menjadi kenyataan apabila Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) telah diarah untuk melaksanakan Permintaan Cadangan (RFP) projek itu dalam masa terdekat.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, Kementerian Pengangkutan telah membentangkan kertas pertimbangan pembangunan ART bertingkat kepada Kabinet pada Disember lalu.

"RFP ini bermaksud kita mahu kerjasama dengan pihak swasta melalui konsep Kerjasama Awam Swasta (PPP). Kita hasratkan untuk laksanakan dengan cepat.

"Oleh itu, RFP akan dipanggil UKAS dalam masa terdekat. Hasrat kita memang untuk bina ART bertingkat. RFP ini akan dinilai dahulu, apabila kita buat keputusan nanti itu baru ia akan disahkan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Majlis Menandatangani Perjanjian Kerjasama Strategik bagi Pembangunan Hartanah Bersepadu di Bukit Chagar di sini pada Khamis.

Dalam pada itu Anthony memaklumkan, ART bertingkat lebih sesuai dibangunkan di bandar raya Johor Bahru berbanding Projek Transit Aliran Ringan (LRT) yang memakan masa lebih lama untuk dibina.

Katanya, ART bertingkat membabitkan jejambat serta lorong khusus sekali gus menjadikannya sistem pengangkutan yang lebih mudah dan cepat dapat dilaksanakan.

"ART boleh digunakan sebagai laluan bas secara bercampur, berbanding LRT yang mana landasannya untuk satu sistem sahaja.

Artikel Berkaitan:

"ART bertingkat ini konsepnya laluan bas campur dengan rel, jadi ia lebih fleksibel.

Sebaliknya LRT pula, mengambil tempoh lama untuk dibina, paling cepat pun antara lima ke tujuh tahun," katanya.

Beliau berkata, Kerajaan Persekutuan sentiasa mengambil kira pandangan Kerajaan Johor mengenai ART yang akan menambah baik kemudahan pengangkutan awam di negeri ini.

"Kita di peringkat pusat sentiasa mendengar pandangan kepimpinan negeri Johor. ART ini yang dihasratkan. Malah Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi ada bercakap mengenai hasrat beliau mengenai ART ini," katanya.

Pada 15 April tahun lalu, Kerajaan Johor dilaporkan mencadangkan pelaksanaan ART bertingkat bagi mengatasi kesesakan di pusat bandar raya ini yang semakin kritikal.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi dilaporkan berkat,a cadangan itu sudah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail.

ART bertingkat dilaporkan akan dibangunkan dengan kos hampir RM7 bilion membabitkan 32 stesen di tiga laluan yang melibatkan jarak lebih 50 kilometer.

Johor dilaporkan memilih sistem ART bertingkat tempoh waktu pembinaan yang lebih singkat, bagi membolehkan ia melengkapi sistem Projek Rapid Transit System Link (RTS Link) yang dijadualkan beroperasi pada Januari 2027.

Projek RTS Link membabitkan rangkaian rel sepanjang empat kilometer menghubungkan Stesen Bukit Chagar di sini dengan Stesen Utara Woodlands di Singapura.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!