Gangguan internet angkara monyet

HAMPIR setiap bulan penulis menghadapi gangguan internet di rumah angkara monyet yang merosakkan kabel komunikasi.
Masalah yang kerap berulang itu amat menyusahkan terutama apabila berlaku pada hari penulis benar-benar bergantung kepada internet untuk membuat kerja.
Di era digital ini, gangguan yang berlaku, walaupun untuk jangka masa pendek, boleh menjejaskan urusan penting seperti pekerjaan, pembelajaran dan komunikasi sosial.
Mujur syarikat penyedia perkhidmatan internet itu pantas membaiki kerosakan walaupun adakalanya terpaksa menunggu berhari-hari berikutan banyaknya kes kerosakan yang perlu mereka selesaikan.
Lebih malang ada kes kabel rosak sudah dibetulkan pada pagi hari, menjelang petang rosak semula akibat sekali lagi digigit haiwan liar berkenaan.
Yang pasti kehadiran haiwan ini sering menimbulkan masalah kepada manusia, sama ada daripada segi keselamatan, kerosakan harta benda mahupun gangguan ketenteraman.
Malahan, acap kali juga media melaporkan aduan penduduk berhubung haiwan liar ini yang merosakkan tanaman. Pantang ada pokok yang berbuah, habis 'dirembatnya' dahulu hingga pemilik sendiri tidak dapat merasa hasilnya.
Kawasan perumahan yang berdekatan dengan hutan, taman rekreasi atau kawasan pelancongan adalah tempat yang sering menjadi tumpuan monyet liar ini.
Haiwan ini tertarik dengan sisa makanan, tanaman dan tempat tinggal yang mungkin mempunyai sumber makanan yang mudah diakses. Monyet-monyet ini cenderung untuk memanjat pagar, merosakkan atap rumah, atau memasuki rumah melalui tingkap atau pintu terbuka untuk mencari makanan.
Apa yang merisaukan apabila bintang liar ini bertindak agresif. Monyet yang terdesak atau terancam mungkin menyerang manusia untuk mempertahankan dirinya.
Banyak laporan media berhubung serangan oleh monyet liar terhadap kanak-kanak dan orang dewasa.
Pada Oktober tahun lalu, Sinar Harian melaporkan seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun cedera di kaki selepas diserang seekor monyet yang tiba-tiba masuk ke pekarangan rumahnya di Taman Warisan Puteri, Seremban.
Kejadian kira-kira jam 4.20 petang itu berlaku semasa kanak-kanak terbabit membantu ibunya mengangkat pakaian di ampaian.
Serangan monyet itu mengakibatkan mangsa terpaksa ditahan di wad kerana lukanya yang dalam selain perlu dijahit dan dipantau dalam tempoh seminggu bagi mengelakkan jangkitan kuman.
Gigitan monyet boleh menyebarkan penyakit berjangkit seperti virus herpes simian atau penyakit lain yang boleh membahayakan kesihatan.
Meskipun haiwan ini dianggap sebagai gangguan, penting untuk diingatkan bahawa monyet liar adalah sebahagian daripada ekosistem dan perlu dilindungi.
Usaha untuk menangani gangguan ini harus dilakukan dengan bijak, menghormati keperluan untuk menjaga keseimbangan antara manusia dan haiwan liar.
Lagi pula antara faktor penyumbang kehadiran monyet di kawasan penempatan penduduk kerana habitat semula jadi haiwan ini telah hilang akibat pembangunan pesat dan pembukaan kawasan baharu untuk pertanian atau perumahan.
Pihak berkuasa tempatan, agensi perlindungan alam sekitar dan masyarakat harus bekerjasama dalam mencari jalan keluar yang memadai. Ini termasuk menggalakkan langkah-langkah yang lebih selamat dan beretika dalam menangani masalah monyet liar, tanpa menyakiti atau mencederakan haiwan-haiwan ini.
Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjung Malaysia, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim dilaporkan berkata, adalah tidak wajar mengambil tindakan sendiri bagi mengatasi masalah gangguan monyet.
Kenyataan itu susulan perkongsian seorang lelaki baru-baru ini mengenai resipi ‘aiskrim beracun’dan ‘pisang maut’ yang digunakan untuk membunuh monyet liar. Perbuatan itu turut mengundang kemarahan netizen yang menyifatkan ia satu bentuk penganiayaan kepada hidupan liar dilindungi.
Bagi ancaman yang dibawa oleh monyet kepada infrastruktur telekomunikasi, penyelesaian seperti pemasangan perlindungan kabel atau pemantauan dan pengurusan habitat monyet mungkin dapat mengurangkan kejadian gangguan berulang.
* Siti Hazira Hamdan ialah Sub Editor Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
