Opsyen bentuk kerajaan di saat pintu terbuka

Gambar kecil: Nasrudin Hassan
Gambar kecil: Nasrudin Hassan
A
A
A

SEMALAM, suasana negara bagai malam buat ketupat menanti pagi ‘Aidil fitri jadinya, ekoran riuh rendah perkembangan politik semasa.

Pemimpin parti politik, ahli parlimen dan wartawan menjadi insan yang paling sibuk dengan urusan masing-masing, manakala rakyat menanti penuh debar.

Satu penjuru, kita melihat ada pihak sedang mengarang jambangan naratif mengenai perkembangan politik semasa ini sebagai usaha pembentukan kerajaan pintu belakang. Term kerajaan pintu belakang sememangnya menjadi igauan buruk.

Sementelah ia dikaitkan dengan pengistilahan kepada sebuah kerajaan yang dibentuk secara tidak bermoral seperti rampasan kuasa, jual beli ahli parlimen di pasaran gelap dan sebagainya.

Kebetulan suasana malam hiruk pikuk ini berlaku, sebelah siangnya kami berada di Janda Baik dalam satu pemukiman Muafakat Nasional untuk berbincang dan mengatur langkah bagi memperkukuhkan Muafakat Nasional.

Fokus kami ialah menyusun gerak kerja dan persiapan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). Para pemimpin utama Muafakat Nasional dari kedua-dua parti turut membuat 'direction' yang serupa iaitu bersiap siaga bagi menghadapi PRU15 seterusnya merencana untuk memenangi PRU tersebut.

Sejurus berakhir pemukiman kami di Janda Baik, saya mula menerima maklumat demi maklumat bahawa Pakatan Harapan (PH) sedang mengalami gegaran dalaman pada skala richter yang sangat kuat sehingga meretakkan komponen mereka.

Maklumat yang diterima bahawa PH mula alami rosot nombor untuk mengekalkan kerajaan apabila beberapa ahli parlimen dari PKR dan PPBM mengambil sikap keluar dari PH.

Ia turut dizahirkan melalui himpunan majlis makan malam ahli-ahli parlimen di sebuah hotel dan kenyataan Datuk Seri Anwar di rumahnya.

Artikel Berkaitan:

Detik begini memerlukan Muafakat Nasional menentu sikap dan membuat pilihan yang tepat.

Muafakat Nasional tidak boleh membiarkan negara terumbang-ambing dalam situasi kerajaan yang hilang majoriti atau meletakkan rakyat menjadi mangsa dalam ketidakstabilan politik negara.

Pilihan utama tentu sahaja menghadapi pilihan raya umum, namun menghadapi pilihan ini, Parlimen hendaklah dibubarkan terlebih dahulu bagi mengambil mandat baharu daripada rakyat melalui proses pilihan raya.

Pilihan kedua (jika pilihan pertama tidak berlaku) ialah membuat pembentukan kerajaan baharu jika benar kerajaan lama (PH) hilang nombor (majoriti) untuk kekal sebagai sebuah kerajaan.

Kini, kepada kami dari Muafakat Nasional bukan lagi menghadapi isu peralihan kuasa dari PM 7 ke PM 8, juga tidak lagi berbangkit soal isu 'pintu belakang'.

Realiti yang berlaku sekarang ialah pintu hadapan mula terbuka luas. Malah pintu kiri dan kanan juga turut terbuka.

Saya mengambil sikap menyerahkannya kepada kebijaksanaan saf kepimpinan Muafakat Nasional dalam mengambil pendirian dan menentu sikap.

Saya percaya mereka turut mencongak strategi dan tindakan yang terbaik pada situasi begini.

Apa yang penting umat Islam mesti bersatu, jangan sampai negara terumbang-ambing dan jangan perjudikan nasib rakyat.

* Nasrudin Hassan ialah Pengerusi Lajnah Dakwah Pas Pusat