Mengapa kita kurang selesa dengan kepelbagaian?

Gambar hiasan. - Foto 123RF
Gambar hiasan. - Foto 123RF
A
A
A

SECARA fitrahnya, manusia lebih selesa dan merasa selamat apabila berada dalam kelompok yang sama dengannya. Dalam bidalan Melayu, terdapat beberapa peribahasa yang menggambarkan fenomena tersebut, Yang enggang sama enggang, Yang pipit sama pipit; Antah berkumpul sama antah, beras sama beras.

Hakikatnya kita lebih mudah bergaul dan berinteraksi dengan kalangan mereka yang sebaya, sebangsa, seketurunan, sama anutan agama, tahap pendidikan dan status ekonomi, serta juga yang berkongsi kewarganegaraan, bahasa pertuturan, kegemaran dan citarasa yang sama.

Sebaliknya, kita akan merasa kekok dan canggung apabila berada di celah-celah mereka yang mempunyai profil yang jauh berbeza dan berlainan. Tahap keselesaan menurun apabila kita terpaksa berinteraksi dengan golongan yang mempunyai ciri-ciri yang bertentangan dengan kita.

Secara amnya, kita merasa kekok dan kurang selesa bila berhadapan dengan kelompok yang lebih tua atau lebih muda, lebih kaya atau lebih miskin, lebih berpelajaran atau kurang berpendidikan, lebih berpengalaman atau kurang matang.

Begitu juga sekiranya seseorang itu berlainan jantina, bangsa dan keturunan, agama dan kepercayaan serta berbeza pandangan dengan kita. Perasaan tidak selesa terhadap kepelbagaian ini mendorong manusia mempunyai persepsi dan tanggapan negatif.

Seringkali persepsi ini menyebabkan kita bertindak menjauhi kelompok yang lain. Wujudlah polarisasi dan tembok pemisah yang melebarkan jurang antara kumpulan manusia yang mempunyai ciri-ciri yang pelbagai.

Fenomena pemisahan ini akan menghasilkan dua situasi yang ketara. Situasi pertama, apabila manusia menganggap kelompok yang satu lagi itu lebih lemah dan dianggap rendah statusnya, contoh golongan yang lebih muda, lebih miskin dan kurang berpendidikan, maka sikap yang ditonjolkan lebih cenderung kepada sikap sombong, angkuh dan merasa diri lebih mulia (holier than thou).

Berlakulah penindasan, kezaliman dan kekejaman, diskriminasi dan pencabulan hak asasi manusia oleh kelompok yang menganggap diri mereka lebih mulia, hebat dan berkuasa. Bermula dengan sikap 'bias' dan berat sebelah, ia akan kemudiannya menjadi perlakuan yang tidak adil dan saksama.

Artikel Berkaitan:

Tidak hairan jika sejarah dunia telah menyaksikan begitu banyak diskriminasi yang diasaskan kepada warna kulit, etnik keturunan dan pangkat serta harta kekayaan - sehingga menyebabkan pertumpahan darah dan sengketa berpanjangan.

Situasi kedua terhasil dari sudut pandang yang berbeza. Manusia sering kali merasa kerdil, terancam, terpinggir dan sentiasa dalam ketakutan apabila berhadapan dengan kelompok yang memiliki ciri-ciri yang jauh lebih hebat dari mereka.

Menjadi lumrah kelompok yang merasa rendah ini untuk mempunyai prasangka yang mendalam dan kecurigaan yang tinggi terhadap kejujuran golongan yang dianggap lebih dari mereka.

Jurang antara kelompok dua darjat ini semakin melebar jika berlaku insiden dan peristiwa yang sengaja digembar-gemburkan untuk meningkatkan ketakutan, rasa cemas dan terancam di kalangan kelompok yang terpinggir dan lemah.

Mentaliti terjajah (siege mentality) dikuasai oleh perasaan merasa diri menjadi mangsa keadaan - sepanjang masa, di mana jua.

Akibatnya, kelompok ini bersifat defensif dan mulai menumpu kepada usaha penyatuan di kalangan kelompok yang sama demi untuk mengumpul kekuatan bagi menjaga diri dan kepentingan mereka. Naratif yang dibawa berbaur perkauman, perpecahan dan pemisahan.

Malang sekali, hampir setiap peristiwa negatif yang terjadi dalam masyarakat akan ditakrifkan dan diterjemahkan dari lensa dan naratif polarisasi perkauman, yang melebarkan lagi jurang pemisah antara dua kelompok ini.

Ibarat api dalam sekam, fenomena mentaliti terjajah ini amat mudah merebak dan menyemarakkan kemarahan di kalangan kelompok yang merasa suara mereka tidak didengar dan kepentingan mereka dipinggirkan.

Persoalannya, mengapa manusia sering menanggapi kepelbagaian sebagai sesuatu ancaman, kemudaratan dan liabiliti? Tanggapan inilah yang menyukarkan usaha penyatuan ke arah keharmonian bersama terutama dalam masyarakat majmuk dan rencam.

Untuk memperjelaskan fenomena ini, perhatian harus diberikan kepada cara bagaimana otak manusia berfungsi.

Mengikut Dr Paul MacLean, seorang neurosaintis yang mengemukakan satu teori dipanggil Triune Brain Theory, otak manusia terdiri dari tiga bahagian otak yang saling berkaitan; otak primitif (otak reptilia), sistem limbik (otak mamalia) dan neo-korteks (otak yang mampu berfikir dan menaakul).

Otak primitif terdiri dari bahagian pangkal otak (brain stem) yang mengawal fungsi asas yang penting untuk kehidupan seperti pernafasan, regulasi kadar denyutan jantung, pencernaan, perkumuhan, regulasi suhu badan, kitaran tidur dan kawalan tekanan darah.

Otak ini juga dinamakan otak reptilia, kerana haiwan liar berdarah sejuk itu mempunyai otak primitif sama yang menentukan tingkah laku dan tindak balas terhadap rangsangan luar.

Dalam konteks kehidupan harian, bahagian otak ini mengawal empat aspek naluri asas (4M) bagi hidupan bertulang belakang (vertebrate) iaitu makan, mengawan, menyelamatkan diri dan melawan (4F – feed, fornicate, flight and fight).

Otak primitif memastikan kesinambungan dan survival haiwan tersebut, dengan cara mendapatkan bekalan makanan, menjauhi musuh dan mempertahankan kawasannya.

Secara asasnya, otak primitif manusia mentakrifkan segala sesuatu yang berbeza dan tidak sama dengannya sebagai satu rangsangan negatif yang mesti diawasi.

Apabila kelompok lain cuba mendekati dan berinteraksi dengannya, sifat waspada dan hati-hati menyebabkan munculnya perasaan bimbang dan cemas.

Malahan sering kali perasaan takut itu menimbulkan rasa curiga dan menyebabkan tindakan menjauhi untuk mudah menyelamatkan diri sekiranya kelompok yang pelbagai itu menyerang atau bertindak agresif.

Jelas mengapa haiwan reptilia dikategorikan sebagai haiwan liar yang tidak boleh dijinakkan atau dijadikan haiwan kesayangan.

Dalam kelompoknya, haiwan reptilia contohnya seekor biawak Komodo Dragon bertindak ganas bergelut dengan seekor biawak lain yang mencerobohi kawasannya.

Demi untuk survivalnya, ia bimbang bekalan makanannya akan berkurangan dan biawak betina yang ada di situ dirampas.

Manusia pula akan memusuhi dan membenci kelompok lain yang dikhuatiri akan mengganggu gugat hak keistimewaannya, merampas peluang ekonomi serta sumber pendapatannya, menghakis budaya dan adat resamnya, meminggirkan agama anutannya serta mempersoalkan kesetiaannya.

Sekiranya fenomena ini tidak ditangani dengan hikmah dan bijaksana oleh semua ahli masyarakat, akan berleluasalah hukum belantara; siapa kuat dia yang menang dan berkuasa. Dikhuatiri akan berlanjutan sikap permusuhan dan persengketaan di antara ahli masyarakat yang majmuk dan pelbagai.

Tiada jalan singkat melainkan untuk belajar mengenali satu sama lain dengan lebih mendalam, ibarat bidalan Melayu - tak kenal maka tak cinta.

Ketakutan yang tercetus dari otak primitif itu perlu ditundukkan oleh sistem limbik (otak emosi) yang mengawal perasaan dan keupayaan belajar dan mengenal pasti kekuatan yang ada.

Begitulah saranan Allah SWT di dalam Al Quranul karim, Surah Al Hujurat ayat 13 yang menekankan tentang `li taarafu’ atau belajar untuk berkenal-kenalan di antara suku dan kaum.

* Profesor Datuk Dr Harlina Halizah Siraj ialah Pengarah Pusat Citra Universiti