X

Kindly register in order to view this article
!

Persengketaan Mahathir-Anwar pencetus segalanya

Dr Mahathir (kanan) bersalaman dengan Anwar pada sidang media mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya Jumaat lalu.
A
A

SEKIRANYA pertukaran kerajaan yang berlaku dalam tempoh tidak sampai dua tahun Pakatan Harapan (PH) memerintah Malaysia, ia pasti menunjukkan bahawa hubungan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim tidaklah seharmoni disangka walaupun kedua-dua mereka dalam satu kapal mengemudi negara selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

Penganalisis politik daripada Universiti Malaya, Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, perubahan itu juga seolah-olah menunjukkan bahawa tragedi pemecatan Anwar daripada Kabinet pada 1998 masih belum selesai sepenuhnya sehingga ke hari ini.

“Hubungan mereka seolah-olah menunjukkan bahawa Dr Mahathir kurang percaya kepada Anwar sebagai penggantinya meskipun Anwar sudah memaafkan peristiwa politik lalu,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Bahkan katanya, retaknya PH rentetan daripada isu peralihan kuasa Perdana Menteri bukanlah disebabkan oleh DAP yang sering diomongkan oleh sesetengan pihak.

“DAP bukanlah puncanya kerana beliau melantik sendiri Lim Guan Eng sebagai Menteri Kewangan dan menerima pelantikan Peguam Negara, Tommy Thomas sedangkan beliau banyak pilihan dan boleh melantik yang lain.

“Saya kira dalam isu Perikatan Nasional ini, Dr Mahathir sanggup bertindak menggunakan kerajaan pintu belakang dan ia akan dirakamkan dalam sejarah demokrasi negara kalau inilah beliau benar-benar laksanakan.

“Sebelum ini beliau dianggap penyelamat demokrasi apabila menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang beliau sendiri pernah menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun. Inilah dikatakan Dr Mahathir sebagai paradoks dalam politik,” katanya.

Gabungan rapuh

Mengulas masa depan Perikatan Nasional, Awang Azman merasakan situasi sama (perubahan kerajaan) juga boleh berlaku kepada mereka kelak.

“Kalau dilihat Perikatan Nasional ini terhasil daripada politik pintu belakang maka pada masa depan perkara yang sama juga boleh berlaku. Dalam konteks ini, perubahan kerajaan boleh sahaja berlaku pada bila-bila masa. Namun ini perkara biasa dalam situasi politik yang rapuh,” katanya.

Dalam pada itu, beliau meramalkan bakal berlaku rombakan besar-besaran terhadap kepimpinan negeri terutamanya melibatkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP yang sebelum ini membantu kerajaan PH sekiranya pertukaran kerajaan berlaku.

“Ini akan melibatkan pertukaran Menteri Besar atau Ketua Menteri dan Exco. Semua pemimpin dalam pakatan itu harus berkompromi dalam isu tersebut.

“Kalau tidak, Perikatan Nasional akan menjadi rapuh dan lemah serta berdepan risiko akan kalah pada PRU akan datang,” tegasnya.

Penganalisis politik Universiti Putra Malaysia, Dr Syed Agil Shekh Alsagoff pula berpendapat bahawa kata-kata yang dikeluarkan oleh Dr Mahathir selepas mesyuarat Majlis Presiden di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya pada 21 Februari lalu merupakan turning point terhadap apa yang berlaku dalam landskap politik negara pada hari ini.

Biarpun pada hakikatnya hubungan Dr Mahathir dan Anwar dalam PH nampak utuh pada luarannya namun melalui ayat: “Saya telah katakan bahawa peralihan kuasa berlaku lepas sidang kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC).

Tiada masa, tiada tarikh, tiada apa pun (ditetapkan). Terpulang pada saya untuk melepaskan ataupun tidak.” Respons itu memberi gambaran bahawa persengketaan kedua-dua pemimpin itu masih berterusan.

Ditambah dengan pelbagai desakan luar kononnya atas nama pertubuhan bukan kerajaan yang mendesak peralihan kuasa Perdana Menteri kelapan dilakukan secepat mungkin, konflik peralihan kuasa Perdana Menteri yang menamakan Anwar sebagai pengganti berterusan tanpa sebarang noktah.

“Kalau kita tengok ucapan Dr Mahathir, ayat-ayat yang dikeluarkan adalah turning point terhadap apa yang berlaku. Beliau ada hak tentukan bila beliau akan melepaskan jawatan dan memberikan kepada penyandang seterusnya.

“Saya juga merasakan terdapat konflik yang dalam PH. Itu menyumbang kepada faktor-faktor sehingga terjadinya perpecahan dalam PH,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Tun M hanya senyum, tak beri komen

20 kenderaan VIP masuk Istana Negara petang ini

UMNO, Pas bincang hala tuju Muafakat Nasional

Desas-desus gabungan baharu untuk Malaysia

Beliau berkata, sejak dahulu lagi ketika kedua-dua pemimpin itu menerajui negara sebagai Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri di bawah parti Barisan Nasional, Dr Mahathir dilihat tidak mempunyai satu jalinan politik yang sepadan berbanding Timbalan Perdana Menteri yang lain contohnya seperti Tun Musa Hitam pada tahun 1981 hingga 1986.

“Kita lihat gandingan Dr Mahathir-Musa, kedua-dua mereka walaupun ada perbalahan di peringkat parti namun kedua-dua mereka memainkan peranan dan membuat banyak polisi. Ia berbeza dengan Anwar.

“Saya nampak bahawa sebenarnya mungkin Dr Mahathir merasakan beliau tidak mempunyai satu jalinan kepimpinan politik yang sepadan dengan Anwar menyebabkan konflik itu berterusan dari dulu sampai sekarang. Saya percaya Dr Mahathir dan Anwar merupakan tokoh politik hebat yang mempunyai haluan berbeza,” katanya.

Politik matang

Beliau menambah, sekiranya berlaku perubahan kuasa memerintah negara pada hari ini, ia bermakna satu sejarah baharu dicipta negara apabila sebuah kerajaan yang dibentuk selepas PRU14 lalu tumbang disebabkan konflik antara gabungan parti PH.

Syed Agil berkata, perubahan kerajaan itu memperlihatkan bahawa sesuatu gabungan parti politik yang membentuk kerajaan tidak akan kebal memerintah sehingga PRU seterusnya.

“Kalau ini berlaku, ia sejarah yang menarik. Yang tercipta berdasarkan landskap perkembangan politik tanah air. Insiden politik itu sebelum ini berlaku di Perak pada 2009. Sekarang ia berlaku di peringkat nasional.

“Peralihan kuasa kerajaan ini juga menunjukkan bahawa dunia politik tanah air pada hari ini tidak menjanjikan satu-satu parti akan bertahan sehingga PRU akan datang,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, apa yang berlaku dalam medan politik negara pada hari ini juga boleh mematangkan landskap politik selepas ini.

Bukan bermaksud bahawa peralihan kerajaan tanpa PRU itu satu tuntutan yang baik tetapi Syed Agil berkata, apa yang berlaku itu mampu memberi kesedaran kepada semua parti politik bahawa kesefahaman dalam kesepakatan politik diperlukan untuk kekal utuh.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!