Ikan laut dalam muncul, berenang di permukaan air

SEPANYOL - Kepulauan Canary menjadi perhatian ramai baru-baru ini apabila spesis ikan laut dalam jarang jumpa dikesan berenang berhampiran permukaan laut.
Memetik laporan CNN, penemuan luar biasa itu didokumentasikan oleh badan bukan kerajaan (NGO) dari negara terbabit yang menjalankan kajian mengenai ikan yu dan pari iaitu Condrik Tenerife.
Dokumentasi video dan gambar ikan ‘rare’ tersebut turut melibatkan jurufoto marin, David Jara Borguña.
Difahamkan, ia dikenali sebagai ‘Black Seadevil atau nama saintifiknya ‘Melanocetus Johnsonii’.
Menurut perkongsian di Instagram Condrik Tenerife, ‘Black Seadevil’ kebiasaannya hidup pada kedalaman antara 200 hingga 2,000 meter di bawah permukaan laut.
“Kawasan ini dikenali sebagai Zon Bathypelagic atau ‘zon malam'.
“Pada zon ini, suhu air sekitar empat darjah Celsius kerana cahaya matahari tidak dapat menembusi kedalaman tersebut.
“Tekanan air pula boleh mencecah lebih 5,850 paun setiap inci persegi,” katanya baru-baru ini.
Bagaimanapun, kemunculan ikan itu di perairan cetek mencetuskan tanda tanya dalam kalangan penyelidik.
Pengkaji menyatakan bahawa rekod terdahulu kebanyakannya sekadar melibatkan larva, bangkai ikan dewasa atau penemuan oleh kapal selam semasa ekspedisi saintifik laut dalam.
Dalam masa sama, pasukan NGO berkenaan menyifatkan penemuan kali ini sebagai momen indah yang bakal dikenang selama-lamanya.
Mengungkap ciri-ciri unik ‘Black Seadevil’, difahamkan ikan betina spesis tersebut memiliki lampu bioluminesen yang terletak di bahagian hadapan kepala.
Dikhabarkan, lampu itu digunakan untuk 'memikat' mangsa di habitat laut dalam yang gelap gelita.
Menurut Muzium Sejarah Alam Smithsonian, lampu bioluminesen merupakan salah satu sumber cahaya yang jarang ditemui di perairan laut dalam dan ia menjadi alat utama untuk menangkap mangsa.
@sinarharianonline Kepulauan Canary menjadi perhatian ramai baru-baru ini apabila spesis ikan laut dalam jarang jumpa dikesan berenang berhampiran permukaan laut. Memetik laporan CNN, penemuan luar biasa itu didokumentasikan oleh badan bukan kerajaan (NGO) dari negara terbabit yang menjalankan kajian mengenai ikan yu dan pari iaitu Condrik Tenerife. #SinarHarian #SinarTerkini #SpesisIkanLaut #CondrikTenerife #KepulauanCanary Marine Life - Atom Music Audio
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!