[VIDEO] Wanita direman enam hari cederakan anak di pasar raya
ARAU - Wanita didakwa memukul dan mencederakan anaknya di hadapan sebuah pasar raya di Jejawi di sini selepas video perbuatannya tular di media sosial direman enam hari bermula Selasa.
Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Ahmad Mohsin Md Rodi berkata, suspek berjaya ditahan di bilik sewanya di Jejawi jam 11.30 malam pada Isnin sebaik menerima laporan.
Menurutnya, wanita bekerja sebagai pekerja kantin berusia 37 tahun kini ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

“Pada Ahad, tular satu hantaran video rakaman litar tertutup (CCTV) melalui aplikasi Whatsapp memaparkan seorang wanita memukul belakang kepala seorang kanak-kanak perempuan sehingga terhantuk di bucu bangku dan berdarah.
“Kejadian disyaki berlaku di hadapan kaki lima pasar raya di sini dan tujuan pengadu membuat laporan polis adalah untuk siasatan serta tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Terdahulu, perintah reman dikeluarkan Majistret Ana Rozana Mohd Nor di Mahkamah Kangar.
Jelas Ahmad Mohsin, anak mangsa berusia empat tahun mengalami luka di kening kanan dan menerima rawatan selepas kejadian tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

